
Pelajar KK1 UM kendali ASCI 2025 dengan cemerlang
Universiti Malaya (UM) sekali lagi mengharumkan nama di persada antarabangsa apabila pelajarnya berjaya menganjurkan Astar Scrabble Challenge International (ASCI) 2025 edisi ke-18 dengan penuh komitmen dan profesionalisme.
Kejohanan sukan minda bertaraf dunia itu dikendalikan pelajar Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) dengan kerjasama Persatuan Scrabble Malaysia (MSA) dan World English-Language Scrabble Players Association (WESPA).
Bertempat di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (KPPI), UM, kejohanan yang berlangsung selama dua hari telah menghimpunkan 228 peserta termasuk 51 pemain antarabangsa dari tujuh negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Filipina, Sweden dan New Zealand.
Menurut Penasihat Program ASCI 2025, Dr Mohd Nur Ashraf Mohd Yusof, keseluruhan pengurusan kejohanan yang bermula dengan logistik, komunikasi antarabangsa, penyelarasan teknikal sehinggalah pengurusan pertandingan telah dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa dari kolej berkenaan.
"Pencapaian ini menjadi bukti bahawa mahasiswa mampu memikul amanah besar apabila diberikan ruang dan kepercayaan.
"Malah, para pelajar menunjukkan kepimpinan luar biasa sepanjang penganjuran dan hasilnya sangat membanggakan," katanya.

Penasihat Bersama ASCI 2025, Nor Arissa Yasmin Abdul Mo’men berkata, pertandingan yang bertemakan Tile Your Destiny amat relevan bukan sahaja kepada para pemain, tetapi juga kepada seluruh pasukan penganjur.
Bagi Pengarah Projek ASCI 2025, Vanessa Ting Mei Yu pula, kejohanan adalah medan latihan kepimpinan yang sangat bermakna.
"Pertandingan bukan sekadar kejohanan, tetapi platform sebenar untuk kami belajar mengurus masa, menangani tekanan, mengendalikan logistik dan berkomunikasi secara efektif dengan pemain antarabangsa.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih seluruh ahli jawatankuasa sejak beberapa bulan lalu," ujarnya.
Terdahulu, ASCI 2025 yang berlangsung dalam suasana meriah turut dihadiri nama-nama besar dalam dunia Scrabble.
Antaranya Nigel Richards dari New Zealand), Hubert Wee dan Toh Wei Bin (Singapura) serta Thacha Koowirat (Thailand).
Turut hadir, William Kang, Kong Chock Heng, Tan Zi Kang dan Ahmad Amirul Hakimi Mohamad, masing-masing dari Malaysia.