Makmal Voltan Tinggi FKAB
Makmal Voltan Tinggi FKAB

UKM bina tiga makmal FKAB baharu

03 Sep 2024 10:11am

Tiga makmal Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, baru-baru ini.

Ia membabitkan Makmal Pengajaran Industri Sistem Terbenam UKM-NI, Makmal Pengajaran Industri CAD/CAM/CAE UKM-SIEMENS, dan Makmal Voltan Tinggi.

Makmal Pengajaran Industri Sistem Terbenam UKM-NI merupakan kerjasama UKM bersama NI Malaysia, sebuah syarikat pembuatan yang fokus akan penyelesaian isu teknologi berinovasi dan fleksibel.

Sementara itu, Makmal Pengajaran Industri CAD/CAM/CAE UKM-Siemens adalah hasil kerjasama antara UKM dengan pihak Siemens Industry Software, Advance Retro Solution (ARS) dan Hitachi Sunway Information Systems.

Makmal Voltan Tinggi pula adalah satu pencapaian besar yang akan menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kejuruteraan elektrik serta elektronik, khususnya yang melibatkan kajian voltan tinggi.

Megat (tengah) merasmikan ketiga-tiga makmal yang baharu dibina.
Megat (tengah) merasmikan ketiga-tiga makmal yang baharu dibina.

Pembinaan ketiga-tiga buah makmal ini akan mengeratkan kerjasama antara UKM dan pihak industri serta memperkukuhkan pembangunan modal insan yang berdaya saing serta berinovatif.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Haji Toriman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT dan rakan industri atas jalinan kerjasama yang kukuh dalam merealisasikan pembinaan makmal ini yang akan memberi manfaat kepada pelajar serta seluruh warga FKAB.

“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh hubungan antara universiti dan industri seterusnya, meningkatkan kualiti pendidikan serta kebolehpasaran graduan,” ujar beliau.

Hadir sama di majlis perasmian itu ialah Naib Presiden dan Pengarah Urusan NI Malaysia, Selvam Chinappan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Halim Abdul Gafor; Pengurus Program Akademik Asia Tenggara Siemens Industry Software, Joyce Eng; Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana, Profesor Dr Norhamidi Muhamad dan Pengerusi Majlis Profesor FKAB, Profesor Dr Che Hassan Che Haron.

Megat melawat pameran yang diadakan di makmal tersebut.
Megat melawat pameran yang diadakan di makmal tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp