UKM johan Debat Antirasuah IPT SPRM 2024
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diumumkan sebagai johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2024 yang diadakan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini.
Pihak pembangkang terdiri daripada tiga pendebat menerusi usul bertajuk "Dewan Ini Menyanggah Penglibatan Saudara Mara Atau Sekutu Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran Dalam Perolehan Tender dan Projek Dari Kerajaan” membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM14,000, buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berserta sijil pencapaian.
Salah seorang tiga pendebat, Hafiz Hafizi Norependi dinobatkan sebagai pendebat terbaik pusingan akhir membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil pencapaian, memaniskan kemenangan pasukan tersebut.
Naib johan pula dimenangi pasukan Universiti Malaya (UM) yang membawa pulang hadiah berupa piala iringan, wang tunai RM8,000, buku beserta sijil pencapaian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datuk Sri Haji Azam Baki semasa ucapan perasmiannya berkata, SPRM tegar dalam mencegah rasuah dan melihat mahasiswa sebagai generasi penting dan bakal pemimpin pada masa hadapan.
"Mahasiswa-mahasiswi adalah bakal pemimpin negara, justeru menerusi penganjuran Debat Antirasuah IPT diharapkan mereka dapat dibentuk daripada aspek integriti dan sahsiah yang baik dalam melahirkan pemimpin yang berkualiti," katanya.
Beliau juga berkata, pendedahan mengenai antirasuah ini penting kerana apabila penuntut keluar dari universiti, mereka akan terdedah kepada pelbagai pengaruh apabila berada di alam pekerjaan kelak.
Sementara itu, Hafiz Hafizi ketika ditemui berpendapat, Debat Antirasuah IPT adalah platform yang bermanfaat kerana memberi peluang kepada mahasiswa mengupas isu-isu relevan dan mengetengahkan suara mereka mengenai isu berkaitan integriti serta rasuah.
“Saya terkejut apabila diumumkan sebagai pendebat terbaik pusingan akhir kerana kebanyakan pendebat-pendebat yang bersaing adalah hebat-hebat belaka dan memiliki pengalaman namun saya bersyukur apabila diberikan pengiktirafan ini," katanya.
Turut hadir dalam pertandingan itu adalah Naib Canselor UTP, Profesor Datuk Ir Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Profesor Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman; Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Nazli Rasyid Sulong dan Pengarah SPRM Negeri Perak, Ahmad Sabri Mohamed.