UM nafi artikel KL dibina atas gua kosong! 'Tiada ahli geologi bernama Dr Sarah'
Universiti Malaya (UM) menafikan artikel kononnya ditulis oleh pakar geologi universiti terbabit yang mendakwa terdapat gua kosong yang besar di bawah Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Profesor Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan berkata, artikel itu kononnya ditulis oleh seorang ahli geologi terkemuka dari UM yang bernama Dr Sarah Jamal.
"Jabatan menegaskan bahawa tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di UM.
"Juga, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal didaftarkan di dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi jabatan, pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, kandungan artikel itu adalah tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu.
Jelasnya, staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India memandangkan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan.
"Punca kejadian itu juga masih tidak dipastikan," katanya.
Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dilaporkan hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Sumber: Sinar Harian