Yatimah (tengah) menunjukkan Pusat Pembelajaran UMPSA KL di Jalan Chan Sow Lin. Foto: Ihsan UMPSA
Yatimah (tengah) menunjukkan Pusat Pembelajaran UMPSA KL di Jalan Chan Sow Lin. Foto: Ihsan UMPSA

UMPSA cadang buka Pusat Pembelajaran UMPSA KL

02 Aug 2025 11:16pm

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berhasrat membuka Pusat Pembelajaran UMPSA Kuala Lumpur (UMPSA KL) sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi khususnya dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat bandar serta golongan profesional yang bekerja.

Usaha tersebut sebahagian daripada persediaan UMPSA mengukuhkan kedudukan universiti itu sebagai hab TVET termaju di rantau ASEAN yang berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan berkualiti tinggi.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, Kuala Lumpur kini menjadi lokasi strategik UMPSA bagi menarik lebih ramai pelajar dari wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, strategi itu dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta menyediakan peluang pembelajaran yang lebih fleksibel kepada pelajar dalam dan luar negara.

"Inisiatif ini turut memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Sudah tiba masanya UMPSA mempunyai Pusat Pembelajaran di Kuala Lumpur dalam menawarkan jaringan strategik bagi pelajar yang mencari akses TVET tanpa perlu pelajar ke kampus universiti di Gambang dan Pekan di Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat persediaan dan menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama anak-anak syarikat milik penuh UMPSA iaitu UMPSA Holdings dan UMPSA Advanced.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings, Ts Mohd Fadzil Mohd Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr Ahmad Johari Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Jelas Yatimah, langkah tersebut selari dengan sasaran kerajaan untuk memperkasa TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan.

Tambah beliau, usaha ini juga sebahagian daripada pelan transformasi UMPSA sebagai universiti teknologi bertaraf global yang menekankan konsep pembelajaran fleksibel, akses mudah serta kolaborasi dengan industri di bandar.

"Usaha ini juga tepat pada masanya apabila UMPSA merupakan salah satu universiti yang diberi kelulusan sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC) dalam usaha memperluas akses serta fleksibiliti pendidikan tinggi negara membolehkan mereka yang bekerja menyambung pengajian secara formal.

"Micro-credentials menjadi pintu masuk semula ke universiti pada masa hadapan, terutama bagi mereka yang tidak dapat mengikuti pendidikan secara konvensional," jelasnya lagi.

Ujarnya, pengiktirafan ini adalah strategi penting memperkasa pelaksanaan kursus micro-credentials yang selari dengan piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Dalam pada itu, beliau memberitahu dengan adanya pusat pembelajaran itu nanti membolehkan universiti menawarkan program profesional dan kompetitif pada masa akan datang.

"Ini termasuklah latihan jangka masa pendek, pensijilan industri dan program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) yang ditawarkan menerusi UMPSA Advanced," katanya.

Jelasnya, UMPSA Holdings juga dalam mengkomersialkan hasil produk UMPSA dan memperkasakan hubungan industri-universiti-komuniti.

"Pusat pembelajaran ini akan menyediakan kemudahan pembelajaran moden berasaskan teknologi digital, bilik kuliah pintar dan sistem pengajaran hibrid yang berfungsi sebagai hab jaringan industri dan komuniti untuk aktiviti pemindahan ilmu, latihan eksekutif dan pembangunan profesional.

"Pusat ini nanti bukan sahaja membuka lebih banyak pilihan kepada pelajar menyambung pengajian tetapi juga mengukuhkan sinergi universiti-industri seiring keperluan industri masa hadapan," jelas beliau.

WARTAWAN: ROSILAWATI ROSEDI

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp