Dari kiri: Michael, Jasmon, Ahmad Johari dan Ahmad Ziad dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di The Ship Campus, Batu Kawan baru-baru ini.
Dari kiri: Michael, Jasmon, Ahmad Johari dan Ahmad Ziad dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di The Ship Campus, Batu Kawan baru-baru ini.

UMPSA perluas pusat pembelajaran luar kampus

27 May 2025 02:26pm

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, UMPSA Advanced Sdn Bhd (UMPSA Advanced) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama The Ship Campus Sdn Bhd (The Ship Campus) di Pulau Pinang.

Ia sebagai usaha UMPSA untuk memperkukuh jaringan strategik dan memperluas capaian pendidikan tinggi negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, perjanjian itu menandakan pembukaan secara rasmi pusat pembelajaran luar kampus UMPSA atau offshore campus yang menempatkan Pusat Asasi UMPSA di wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, penubuhan kampus itu ialah inisiatif strategik dalam memperluas akses pendidikan berkualiti dan menyediakan peluang pembelajaran lebih fleksibel kepada pelajar dari utara tanah air.

"Kerjasama ini bukan sekadar langkah strategik tetapi juga simbolik kepada aspirasi UMPSA dalam menjadikan pendidikan tinggi lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan industri.

"Inisiatif di The Ship Campus ini adalah antara langkah strategik memperkukuh visibiliti UMPSA di wilayah utara Semenanjung Malaysia serta memperluaskan akses kepada program asasi dan pendidikan tinggi agar lebih ramai pelajar berpeluang mengikut program pengajian.

"Kolaborasi ini juga membuka ruang kepada pengoperasian program asasi di lokasi yang bukan sahaja strategik dari segi geografi, tetapi turut dilengkapi dengan fasiliti moden dan teknologi pendidikan terkini. Ia secara langsung menyokong agenda pemerkasaan pendidikan tinggi yang berteraskan nilai, teknologi serta kebolehpasaran graduan," katanya.

Seramai 43 pelajar UMPSA mengikuti program Competency-Based Tourism, anjuran IntellecTours di sekitar Pulau Pinang.
Seramai 43 pelajar UMPSA mengikuti program Competency-Based Tourism, anjuran IntellecTours di sekitar Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di The Ship Campus baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoA tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr Ahmad Johari Mohamad; Ketua Pegawai Operasi The Ship Campus, Jasmon Lim dan disaksikan oleh Ahmad Ziad yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias.

Turut hadir menyaksikan majlis MoA itu ialah Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group, Datuk Seri Dr Michael Tio.

Sementara itu, Yatimah berkata, kerjasama itu telah membuka lembaran baharu kepada pelajar, warga akademia dan pihak industri secara keseluruhannya.

"Dengan termeterainya MoA ini, UMPSA memperkukuh lagi peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal berteraskan teknologi dan inovasi, sejajar dengan hasrat untuk melahirkan graduan holistik, bercirikan keusahawanan dan berdaya saing di peringkat global.

"Ia juga bakal memperlihatkan perkongsian sumber dan kepakaran dalam bidang akademik, teknologi, pembangunan pelajar serta pendedahan kepada industri," ujarnya.

UMPSA menawarkan 10 program Ijazah Dual (Dual Degree) strategik melalui dengan lima institusi pengajian tinggi terkemuka dunia.

Antara rakan kerjasama termasuklah dari negara Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences ( HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Tianjin University dan Beijing Jiaotong University (BJTU) di China; Kazakh National Agrarian Research University di Kazakhstan dan terkini bersama Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp