Leia Mayssa akan mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer di MIT Amerika Syarikat bagi sesi kemasukan 2025.
Leia Mayssa akan mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer di MIT Amerika Syarikat bagi sesi kemasukan 2025.

Pelajar Kolej MARA Banting dapat tawaran pengajian di Amerika Syarikat! 'Pencapaian akademik & kokurikulum Leia Mayssa luar biasa. Dia layak belajar di sana'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Mar 2025 11:57am

Kolej MARA Banting, Selangor, terus mengekalkan reputasinya sebagai institusi pendidikan unggul dalam melahirkan ramai pelajar yang bukan sahaja pintar akademik dan kokurikulum, tetapi juga berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dek kebijaksanaan yang ada pada mereka, tidak mustahil ramai berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara dengan pencapaian luar biasa masing-masing.

Terbaharu, Leia Mayssa Masyerin, 18, telah mengharumkan nama Kolej MARA Banting apabila mendapat tawaran belajar ke Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat bagi sesi kemasukan 2025.

Di sana, Leia Mayssa akan mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer iaitu jurusan yang semakin berkembang seiring dengan kemajuan teknologi digital.

Rezeki Leia Mayssa menimba ilmu hingga ke Amerika Syarikat itu telah menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar bijak tersebut di Facebooknya dan menyifatkan kejayaan itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), malah ia juga simbol keupayaan anak Malaysia untuk bersaing serta cemerlang di peringkat tertinggi dunia.

"Dengan keazaman, disiplin dan semangat yang tinggi, tiada batasan untuk kita menggapai kejayaan.

"Saya mendoakan agar perjalanan Leia di MIT dipermudahkan dan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mengejar impian mereka. Malaysia bangga dengan kejayanmu, Leia! All the best," catatnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Leia Mayssa mengharumkan negara apabila terpilih mewakili Malaysia dalam International Mathematical Olympiad tiga tahun berturut-turut di Oslo, Norway pada 2022; Chiba, Jepun (2023) dan Bath, United Kingdom (2024).

Dalam pertandingan berprestij itu, pelajar tersebut berjaya merangkul satu pingat gangsa dan dua Honorary Mentions sekali gus membuktikan kecemerlangannya dalam bidang matematik di pentas dunia.

Selain itu, Leia Mayssa turut terpilih menyertai Kem Matematik Antarabangsa, Maths Beyond Limits di Poland pada September 2024 dan merupakan wakil tunggal Asia Tenggara.

Kem Matematik Antarabangsa ini menghimpunkan 60 pelajar cemerlang dari 32 negara yang berkongsi minat dalam Matematik dan membina jaringan akademik global.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp