Kasim (tengah) bersama-sama ahli lembaga pengarah dan pegawai utama UMS menyempurnakan gimik perasmian pecah tanah Hotel UMS dan Makmal Pengajaran Hospitaliti.
Kasim (tengah) bersama-sama ahli lembaga pengarah dan pegawai utama UMS menyempurnakan gimik perasmian pecah tanah Hotel UMS dan Makmal Pengajaran Hospitaliti.

UMS bangunkan hotel, makmal pengajaran hospitaliti

05 Sep 2024 03:40pm
A
A
A

Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan membangunkan Hotel UMS dan Makmal Pengajaran Hospitaliti Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) sebagai satu bentuk kemudahan penginapan dalam kampus.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, projek pembangunan Hotel UMS dan Makmal Pengajaran Hospitaliti FPEP itu telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti sejak 28 Disember 2020.

“Sehingga kini, peruntukan bagi membiayai projek ini adalah sebanyak RM10 juta daripada peruntukan Rizab Kumpulan Wang Pembangunan Universiti.

“Ini jelas membuktikan komitmen universiti dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia selaras inisiatif Bidang Keberhasilan Utama (KRA) 2 dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pecah tanah hotel tersebut di kampus UMS baru-baru ini.

Kasim (tiga dari kiri) mendengar taklimat daripada wakil pihak konsultan projek pembangunan Hotel UMS.
Kasim (tiga dari kiri) mendengar taklimat daripada wakil pihak konsultan projek pembangunan Hotel UMS.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Kasim memaklumkan pembangunan hotel berkonsepkan Boutique Hotel itu akan menjadi tempat untuk para pelajar melakukan amali dan latihan praktikal berkaitan dengan industri perhotelan dan pelancongan.

Beliau turut menjangkakan pembinaan hotel UMS bermula tahun ini siap dalam tempoh dua tahun dan menempatkan sebanyak 18 buah bilik.

Terdahulu, Dekan FPEP, Profesor Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim memaklumkan, pembinaan hotel itu akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran khususnya bagi FPEP melalui pendekatan experimental learning dan hands-on kepada pelajar.

“Apabila siap kelak, Hotel UMS dan Makmal Pengajaran Hospitaliti ini akan mendedahkan pelajar kepada operasi sebenar sebuah hotel komersial merangkumi perkhidmatan operasi pejabat, perkhidmatan bilik, pengemasan rumah, pengurusan acara, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) dan lain-lain perkhidmatan,” ujar beliau.

Hadir pada majlis itu ahli lembaga pengarah UMS, Datuk Aliasgar Basri dan Norali Ag Damit; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok