Intan Soliha (depan) bersama kumpulan pelajar di Ocean University of China.
Intan Soliha (depan) bersama kumpulan pelajar di Ocean University of China.

UMS 'terbang' ke China, tawar program pesisir Sijil Asasi Sains Sosial

02 May 2025 12:05pm

Hubungan diplomatik Malaysia dan China yang telah wujud sejak lima dekad bukan hanya melibatkan pembangunan ekonomi dan perdagangan malah pendidikan juga.

Terbaharu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memperkukuh hubungan Malaysia dan China menerusi pembangunan program pesisir Sijil Asasi Sains Sosial.

Menurut Pensyarah Kanan Program Komunikasi UMS, Dr Intan Soliha Ibrahim, usaha itu penting dalam memperkukuh dan memartabatkan bidang kepakaran Sains Sosial di dua buah universiti di China.

Katanya, dua universiti yang terlibat dengan program Asasi Sains Sosial terdiri daripada Ocean University of China dan Weifang Vocational College of Food Science and Technology.

Menurutnya lagi, kerjasama antara UMS Flexible Education Centre (UMSFLEC) dan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS juga telah membawa kepada pembangunan program Asasi Sains Sosial.

"Seramai 39 kakitangan akademik UMS dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Pengajian Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) terlibat dalam pembangunan program bermanfaat ini," kata Intan Soliha.

Sebahagian pelajar Asasi Sains Sosial di Weifang Vocational College of Food Science and Technology.
Sebahagian pelajar Asasi Sains Sosial di Weifang Vocational College of Food Science and Technology.

Sementara itu, Penyelaras Program Asasi Sains Sosial UMS, Dr Mivolil Duinong berkata, usaha menawarkan program asasi di China telah mempelbagaikan penawaran program asasi di UMS, selain program Asasi Sains yang ditawarkan di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS.

Artikel Berkaitan:

"PPST bertanggungjawab dalam menjamin dan menjaga kualiti program asasi. Selain Asasi Sains Sosial, PPST UMS turut menawarkan Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat dan Asasi Agrisains yang masing-masing mula ditawarkan pada tahun 2010, 2020 dan 2024.

"Dengan adanya Asasi Sains Sosial di China ia dijangka dapat menggalakkan pemahaman mengenai budaya antara dua negara dan perkongsian pengetahuan," ujarnya.

Program persisir Sijil Asasi Sains Sosial UMS di China mula ditawarkan pada Oktober 2024 dan telah menerima 99 pelajar bagi pengambilan pertama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp