Mohd Arifin bersama pengamal media Sabah yang diberi penghargaan pada Majlis Amanat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di SICC Kota Kinabalu.
Mohd Arifin bersama pengamal media Sabah yang diberi penghargaan pada Majlis Amanat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di SICC Kota Kinabalu.

UMS jadi IPTA terlibat bangunkan Pusat AI pertama di Sabah, tahniah!

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
14 Feb 2025 11:19am

Universiti Malaysia Sabah (UMS) diumumkan sebagai institusi pendidikan tinggi yang akan terlibat dalam usaha membangunkan Pusat Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah strategik menuju transformasi teknologi dan ekonomi digital sekali gus inisiatif menyokong pembangunan digital di negeri itu.

Katanya, penglibatan UMS bagi memanfaatkan kepakaran yang dimiliki institusi pendidikan tersebut dalam bidang AI.

"Saya sudah mendapat taklimat daripada kumpulan pakar dari UMS yang juga dimanfaatkan oleh negeri-negeri yang lain, di mana beliau banyak memberikan maklumat dan taklimat.

"Beliau juga telah membentang mengenai AI dan kita akan fokus kepada apa keistimewaan negeri Sabah seperti produk Sabah termasuk alam semula jadi, budayanya yang unik dan kita akan fokus untuk menjadi salah satu daripada landasan untuk kita memperkasakan AI," katanya.

Mohd Arifin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.

Ditanya mengenai keberadaan lokasi pusat AI itu, Mohd Arifin berkata, pada peringkat awal pihaknya bekerjasama dengan UMS dahulu sebelum penubuhannya ditentukan nanti.

"Kita akan bersama dengan UMS dulu dan memorandum persefahaman (MoU) kita akan adakan, ini baru peringkat awal dan saya yakin kita boleh laksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila sudah ada baru kita wujudkan Majlis AI Sabah," katanya.

Ujarnya lagi, pelaksanaan pusat AI penting dalam menyokong usaha kerajaan Pusat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data neutral.

"Penggunaan AI hari ini merupakan satu perkara yang tidak lagi boleh dielakkan khususnya melibatkan urusan harian terutama bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam.

"Penggunaan AI merupakan satu anjakan perubahan ke arah kualiti tinggi, produktif serta mampu melaksanakan tugasan lebih sukar serta berimpak tinggi.

"Semua ini juga mampu memperkasakan lagi pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan rakyat kita," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp