Mohd Izani (kanan) sewaktu pelancaran Aquapreneur Drive dan Kampung Angkat Komuniti Madani di UMT baru-baru ini.
Mohd Izani (kanan) sewaktu pelancaran Aquapreneur Drive dan Kampung Angkat Komuniti Madani di UMT baru-baru ini.

UMT lancar Aquapreneur Drive, kampung angkat Komuniti Madani

NURBAYA ABDUL REZAK
13 Mar 2024 09:36am
A
A
A

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) memberi fokus utama kepada pemerkasaan bakat mahasiswa dan pemindahan ilmu melalui agenda keusahawanan dan pembangunan komuniti sepanjang 2024.

Menurut Timbalan Naib Canselor HEPA UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, inisiatif Aquapreneur Drive dan Kampung Angkat Komuniti Madani diperkenalkan semasa menyampaikan perutusan Timbalan Naib Canselor, HEPA 2024 bertemakan Memugar Ikhtiar ke Arah Kebitaraan Mahasiswa.

Mohd Izani berkata, Aquapreneur Drive akan menjadi pilihan perniagaan bakal usahawan siswa dan graduan dalam menyokong kebolehpasaran graduan UMT.

"Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan atau UMT-GEM menawarkan bimbingan secara teori dan praktikal berkenaan Business Model Canvas (BMC) dan peserta didedahkan dengan penulisan rancangan perniagaan mengikut kriteria yang diperlukan seterusnya dinobat sebagai Usahawan Aquapreneur UMT," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, kebolehpasaran graduan UMT telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan apabila meningkat sebanyak 91.4 peratus pada tahun 2023 berbanding hanya 88 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam konteks pemindahan ilmu pula, HEPA UMT telah memilih lima kampung angkat dalam program Program Komuniti Madani Kampung Angkat HEPA 2024.

"Program ini akan menumpukan landasan membantu komuniti dalam penyelesaian masalah atau isu seperti keseimbangan sosioekonomi, pemantapan elemen kepimpinan, penjagaan alam sekitar dan kesan kepada komuniti, pemantapan kemahiran pelayaran serta mengakar umbikan program kebudayaan kepada komuniti yang terlibat," katanya.

Sejumlah lima komuniti telah dikenal pasti iaitu Kampung Pulau Duyung Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Kuala Berang Hulu Terengganu, Ecosweed Initiative, Kampung Mangkuk, Setiu, Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara dan Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Nerus.

Wakil lima kampung angkat ini turut menerima watikah pelantikan.

Artikel Berkaitan:


Turut diadakan pelancaran gimik Café Zus Coffee di Kompleks Siswa, pelantikan Felo Bersekutu HEPA, pemeteraian (Letter of Intent (LoI) di antara Pusat Sukan dan Rekreasi dengan Arena Sport and Equipment Sdn Bhd dan Maxis Sdn Bhd untuk pengurusan fasiliti dan pembangunan sukan warga UMT.

Selain itu, penyerahan Cek Cura Program Dapo oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu atau Maidam @IPT dan Penyerahan Sumbangan Zakat Akaun SSPN Prime daripada PTPTN kepada UMT turut dilaksanakan.

Jelas Mohd Izani, perutusan kali ini berteraskan gagasan Malaysia Madani iaitu berfokus kepada landasan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta mengambil kira Hasrat Amanat Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abdul Ghaffar dan Pelan Strategik UMT 2023-2027.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok