Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod (kiri) dan Pengerusi UMT Holdings, Datuk Dr Din Adam melakukan gimik perasmian Majlis Penjenamaan Semula UMT Holding di UMTSEA, Menara CP Petaling Jaya pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod (kiri) dan Pengerusi UMT Holdings, Datuk Dr Din Adam melakukan gimik perasmian Majlis Penjenamaan Semula UMT Holding di UMTSEA, Menara CP Petaling Jaya pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

UMTSEA, tarikan baharu UMT

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
18 Jul 2024 03:34pm

Sempena penjenamaan semula Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Jaya Holdings Sdn Bhd (UMTJ) kepada UMT Holdings, sebuah anak syarikat baru diwujudkan bagi menerokai lebih banyak bidang dan dikenali sebagai UMTSEA (UMT School of Educational Advancement).

Pengerusi UMT Holdings, Datuk Dr Din Adam berkata, sesuai dengan imej kelautan yang dibawa UMTSEA yang ditubuhkan sebagai sayap swasta saluran terbuka pendidikan (private wing) di Petaling Jaya, Selangor.

Datuk Dr Din Adam
Datuk Dr Din Adam

”Kita tidak melihat kepada apa yang ditawarkan di universiti itu sendiri tetapi kita melihat juga bagaimana jalinan rakan strategik diwujudkan bukan sahaja di Terengganu tetapi di sekitar Lembah Klang atau peringkat antarabangsa.

“Saya berkeyakinan penuh apabila kita dapat kawasan yang strategik dan kondusif seperti UMTSEA ini dapat dijadikan sebagai tarikan baru untuk melanjutkan pendidikan di sini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penjenamaan semula UMT Holdings.

UMT Holdings merupakan anak syarikat milik penuh UMT yang menjalankan beberapa projek utama seperti pengurusan fasiliti di kampus UMT Kuala Nerus, Terengganu, projek komersialisasi produk-produk penyelidikan dan pembangunan universiti, program latihan dan perundingan, pemasangan skrin LED di Kampus UMT Kuala Nerus serta projek instalasi solar di atas bumbung di kampus sama.

Selain UMTSEA, kesemua projek yang dijalankan juga adalah dibawah dua lagi anak syarikat yang telah wujud ketika masih bergelar UMTJ iaitu UMT Aqua (memfokuskan kepada akuakultur) dan UMT Consultancy Services (latihan dan perundingan).

Katanya lagi, matlamat utama UMT Holdings adalah untuk menjana pendapatan kepada UMT bagi membiayai sebahagian perbelanjaan operasi serta program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) universiti untuk membantu para pelajar.

Artikel Berkaitan:

"70 peratus pelajar kita adalah daripada b40. Selayaknya pendapatan disalurkan melalui CSR terutamanya kepada anak-anak nelayan yang menjadi ‘niche’ kepada program di UMT,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata, ini adalah masa untuk menjelmakan semula UMT sebagai asas untuk menggerakkan ekonomi biru.

Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod
Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod

“Dengan adanya UMT di Kuala Lumpur, kita dapat menarik anak muda daripada luar negara yang mungkin belum selesa sepenuhnya untuk tinggal di Terengganu, tidak ada masalah untuk mempelajari tentang perikanan di Kuala Lumpur.

“Kita kini menjadi pemangkin untuk industri. Seluruh industri berkaitan lautan dan pengangkutan laut semakin berkembang cuma tidak diberi pengiktirafan,” katanya.

Turut diadakan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara UMT Holdings dan MIMOS Berhad serta Huawei.

MOU itu bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dalam membangunkan Pusat Data Komputer Berprestasi Tinggi Pantai Timur di Kampus Bukit Kor, Marang dan Projek Kampus Bestari di Kampus UMT Kuala Nerus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp