UniMAP 'terbang tinggi' pada EUROINVENT di Romania
Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya merangkul enam pingat emas dan empat pingat perak di Pameran Inovasi Antarabangsa European Fair of Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2023 di Lasi, Romania, baru-baru ini.
Lebih membanggakan dua mahasiswanya, Muhammad Amirul Aiman A Ramlee dan Reshikesan A/L Ravi dinobatkan Anugerah Khas bagi produk inovasi bertajuk Green Lead-free Sn-Cu Transient Liquid Phase Die-bonds for Future High Power Electronic Devices serta Geopolymer Crumb Rubber.
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, penyertaan pelajarnya dalam pertandingan inovasi itu adalah sempena program UniMAP Global Outreach (UniGO) 3.0 iaitu program mobiliti pelajar antarabangsa ke Gheorghe Asachi Technical University of Lasi, Romania bermula 10 hingga 14 Mei lalu.
"Mobiliti antarabangsa ini dapat memberi pendedahan luas serta nilai tambah kepada pelajar UniMAP dalam pembelajaran, teknologi malah budaya negara luar.
"Program mobiliti antarabangsa UniGO siri ketiga UniMAP tahun ini melibatkan penyertaan 10 pelajar UniMAP serta tiga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT)," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Selain pelajar, beliau memberitahu, empat pensyarah UniMAP turut menyertai pertandingan penyelidikan dan inovasi tersebut.
Mereka memenangi tiga pingat emas dan satu perak.
Katanya, seorang penyelidik, Dr Romisuhani Ahmad memenangi Anugerah Khas dari Politechnica University Timisoara, Romania, bagi produk penyelidikan bertajuk Low Sintering Temperature Geo-Ceramics.
"Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah pula berjaya memperoleh anugerah Excellence Award dari Mihai Chirica, Datuk Bandar Lasi," katanya.