Sijil ijazah dikeluarkan oleh UNIMAS mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri.
Sijil ijazah dikeluarkan oleh UNIMAS mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri.

UNIMAS jamin keselamatan pengeluaran sijil ijazah

02 Aug 2024 05:07pm

Berikutan kenyataan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tentang dakwaan pembelian sijil akademik baru-baru ini, Naib Canselor, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Ahmad Hata Rasit menyatakan komitmen penuh dalam pemantauan isu tersebut dan keterjaminan keselamatan sijil akademik UNIMAS.

Kata beliau, sijil ijazah dikeluarkan oleh UNIMAS telah digunakan sejak Majlis Konvokesyen pertama pada tahun 1997 dan mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri.

“Antara ciri-ciri keselamatan yang ada dalam sijil UNIMAS adalah lakaran standard tinggi di seluruh kertas dengan serat keselamatan tiga warna, logo UNIMAS dicetak pendaflour limunan dan tandatangan Naib Canselor serta pendaftar tanpa nama yang boleh diperiksa oleh UNIMAS,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, setiap sijil juga mempunyai reka bentuk corak pua kumbu, garisan teks mikro UNIMAS, lilin meterai, terapan hologram dan nombor siri di mana kesahihan boleh disahkan oleh UNIMAS.

Berdasarkan kenyataan rasmi itu, ciri-ciri ini direka bentuk untuk memastikan sijil ijazah UNIMAS tidak boleh dipalsukan atau diubah suai dengan mudah.

Berserta sijil ijazah UNIMAS juga ialah transkrip yang mengandungi maklumat terperinci pencapaian akademik graduan.

Sehubungan itu, nama setiap graduan juga disimpan sebagai data manual dalam Warta Konvokesyen yang hanya boleh diakses oleh pegawai-pegawai tertentu UNIMAS.

Pihak UNIMAS juga menegaskan mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang percubaan penyalahgunaan nama UNIMAS untuk tujuan pemalsuan sijil akademik.

Ahmad Hata juga menyeru, jika ada timbul keraguan atau ada pihak merasakan ada cubaan pemalsuan yang menggunakan nama UNIMAS oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghubungi UNIMAS dan membuat laporan polis.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp