Universiti Islam Antarabangsa Malaysia diiktiraf kedua terbaik dunia
International Islamic University Malaysia (IIUM) atau lebih dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menawarkan pelbagai peluang unik kepada mahasiswa untuk kecemerlangan akademik dan perkembangan kerjaya.
Universiti ini komited terhadap pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif dalam menawarkan program-program pendidikan tinggi dan menganggap menimba ilmu itu sebagai satu ibadah.
Berikutan kecemerlangan UIAM dalam bidang pendidikan, baru-baru ini universiti berkenaan telah diiktiraf sebagai universiti Islam kedua terbaik di dunia pada ranking uniRank 2024.
Dalam senarai yang diterbitkan uniRank, Universiti Cairo dari Mesir menduduki tempat pertama manakala UIAM (tempat kedua) diikuti Jordan University of Science and Technology (tempat ketiga), menurut laporan seasia.stats.
Kejayaan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa UIAM bukan sahaja diiktiraf di peringkat kebangsaan, tetapi juga di mata dunia sebagai salah satu institusi terunggul yang menawarkan pendidikan tinggi berlandaskan prinsip-prinsip Islam.
Kedudukan UIAM di tempat kedua bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan universiti tersebut.
Ini kerana, UIAM telah lama dikenali sebagai pusat kecemerlangan akademik dan pengajian Islam serta berjaya menarik pelajar dari pelbagai negara di seluruh dunia.
Selain kejayaan UIAM dalam uniRank 2024, universiti-universiti dari Indonesia juga menunjukkan prestasi cemerlang di mana tiga institusi mereka turut tersenarai dalam 10 teratas.
Tiga institusi itu terdiri daripada Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara menduduki tempat keempat, Universitas Muhammadiyah Prof Dr Hamka (tempat ketujuh) dan Universitas Islam Indonesia (tempat kesembilan).