Karnival STEAM menyaksikan penglibatan daripada rakan-rakan kongsi UNM iaitu MDEC dan CelcomDigi.
Karnival STEAM menyaksikan penglibatan daripada rakan-rakan kongsi UNM iaitu MDEC dan CelcomDigi.

University of Nottingham Malaysia perkenal Kubah Bio Interaktif

24 Apr 2024 06:20pm
A
A
A

Lebih 700 pelajar daripada 18 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sempena Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) di University of Nottingham Malaysia (UNM).

Karnival yang berlangsung dari 22 April hingga 24 April 2024 telah dirasmikan Provos Interim merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, UNM, Profesor Sam Kingman.

Hadir sama, Pengarah, Bakat dan Keusahawanan Digital, Divisyen Pemacu Industri Digital di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts Nik Naharudin Mohd Nasir;

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram dan Pengetua Kampus di Tenby International School Setia EcoHill, Martin Shelley.

Karnival STEAM menyediakan pelbagai bengkel interaktif, pameran dan aktiviti oleh Fakulti Sains dan Kejuruteraan (FOSE) serta Fakulti Seni dan Sains Sosial (FASS).

Dikatakan, tarikan utama Karnival STEAM ini adalah Kubah Bio atau BioDome yang serba interaktif di mana ia mempamerkan sebuah ekologi dibangunkan secara kolaboratif oleh FOSE dan pelajar-pelajar Tenby International School Setia EcoHill.

Penglibatan para pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada Program Duta STEAM UNM yang bermatlamat memupuk minat mereka dalam disiplin STEAM, menawarkan pengalaman pendidikan menarik selain meningkatkan kesedaran mengenai impak alam sekitar dan mempamerkan cara-cara inovatif terhadap pendidikan kelestarian alam sekitar.

Menurut Sam Kingman, Karnival STEAM bukanlah sekadar pameran interaktif untuk para pengunjung.

Artikel Berkaitan:

“Kubah Bio misalnya mengetengahkan pendidikan STEAM menerusi sebuah kaedah yang amat menarik termasuk apa yang kami ingin kecapi buat para pelajar di UNM iaitu persekitaran pembelajaran yang imersif lagi holistik di mana mereka boleh mengamati sains, teknologi dan masyarakat diintegrasikan dengan sebaiknya.

“Bersama rakan-rakan kongsi, kami ingin memupuk sebuah kolaborasi jangka panjang berpaksikan inovasi dan kelestarian.

“Melalui inisiatif ini, pelajar dapat menyaksikan dan mengambil bahagian dalam sebuah persekitaran pembelajaran yang ‘hidup’,” katanya.

Sementara itu, Karnival STEAM telah menyaksikan penglibatan daripada rakan-rakan kongsi UNM iaitu MDEC dan CelcomDigi.

MDEC telah menjalankan aktiviti pengekodan dan teknologi dron bersama Elvira Systems dan Aiszzy Electronics yang membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam cabaran mengekod dan mengoperasi dron, menonjolkan kegunaan praktikal serta potensi teknologi udara dan juga sains komputer.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sokongan buat graduan yang perlu menavigasi landskap kerjaya yang kian berubah, Sam Kingman berkata, mereka (graduan) perlu bijak mencari peluang dalam bidang berkaitan.

“Era perubahan teknologi dan sosial yang begitu pesat di mana inovasi memberi kesan ke atas pelbagai sudut kehidupan kita, penekanan UNM terhadap pendidikan STEAM merungkai pelbagai peluang yang belum diterokai dalam menghubungkan pelbagai disiplin akademik dengan satu sama lain serta menggalakkan pelajar untuk menggunakan kreativiti dan kemahiran pemikiran kritikal mereka dalam konteks dunia nyata.

“Menerusi Karnival STEAM ini, kami menyediakan peluang pembelajaran yang imersif dan inklusif sekali gus menghasilkan dan memperkukuhan bakat-bakat yang bersedia untuk masa hadapan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai University of Nottingham Malaysia, sila layari www.nottingham.edu.my.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok