UPM dan RISDA berganting bahu melalui Pelaksanaan Projek Agromakanan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
17 Mar 2023 02:42pm

Melihat kepada kebimbangan ramai pihak tentang isu jaminan bekalan makanan, setiap negara semakin rancak memainkan peranan menyusun strategi masing-masing bagi mengatasi masalah ini.

Ini termasuklah penggubalan Dasar Agromakanan Negara (DAN) yang memfokuskan penekanan terperinci industri agromakanan selain menambahkan pendapatan dan bilangan usahawan tani.

Menyedari kepentingan itu juga, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Bahagian Latihan Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (RISDA) dan Fakulti Pertanian UPM telah menganjurkan kursus Pengurusan dan Pelaksanaan Projek Agromakanan.

UCTC UPM turut bertanggungjawab menghubungkan warga akademik UPM kepada pegawai agensi melalui aktiviti perkongsian ilmu dan kepakaran.

Kursus yang dijalankan di Mentakab, Pahang, itu telah berlangsung pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu melibatkan 36 orang pegawai RISDA.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad, agromakanan adalah fokus penting RISDA untuk membangunkan tanah terbiar bagi melaksanakan projek berkenaan dengan berimpak.

“Kursus ini penting bagi memastikan setiap pegawai RISDA dapat melaksanakan projek yang memberikan impak dan kejayaan serta memberi keuntungan kepada golongan sasar.

“Saya turut berharap kursus ini dapat mencapai objektif yang disasarkan dan memberi manfaat kepada pegawai RISDA dan melahirkan pegawai yang kompeten dalam menjalankan tugas di lapangan,” ujarnya pada majlis perasmian kursus Pengurusan dan Pelaksanaan Projek Agromakanan, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Bahagian Program Khas RISDA, Nor Azwa Abd Salim dan penceramah dari Fakulti Pertanian UPM, Profesor Dr Norsida Man.

Dalam pada itu, kursus tersebut juga sebahagian daripada aktiviti kerjasama dalam Memorandum Persefahaman (MoU) UPM dengan RISDA untuk perkongsian ilmu dan kepakaran dari universiti kepada pegawai RISDA serta bersama-sama berganding bahu memastikan aktiviti pertanian negara mencapai objektif dan matlamatnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp