Para peserta Greening Malaysia: Love Our Forest II bergambar kenangan selepas berakhirnya program tersebut baru-baru ini.
Para peserta Greening Malaysia: Love Our Forest II bergambar kenangan selepas berakhirnya program tersebut baru-baru ini.

UPM dekati murid untuk cintai alam sekitar dan biodiversiti

16 Oct 2023 05:58pm
A
A
A

Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi pendedahan kecintaan dan kepentingan penjagaan alam sekitar serta biodiversiti kepada 44 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kem Askar Melayu Diraja, Port Dickson, Negeri Sembilan menerusi program Greening Malaysia: Love Our Forest II pada Rabu.

Program yang diadakan itu turut mendukung Pelan Strategik UPM 2021-2025 melalui Matlamat 1 - Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang yang meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa untuk berkongsi ilmu bersama komuniti dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Menurut Pengarah Program, Profesor Madya Dr Siti Suriawati Isa, program tersebut memupuk minat murid-murid mencintai alam sekitar sekali gus memberi pendedahan awal tentang haiwan dan tumbuhan yang perlu dipelihara demi kebaikan generasi masa hadapan.

Beliau berkata, pendidikan dan kesedaran terhadap kecintaan alam sekitar perlu diberikan kepada setiap individu sejak kecil lagi. Ia kerana masyarakat sering mengejar pembangunan tetapi lupa untuk menjaga kemampanan alam sekitar.

Beberapa mahasiswa QUT yang turut serta dalam program di SJKT Kem Askar Melayu Diraja.
Beberapa mahasiswa QUT yang turut serta dalam program di SJKT Kem Askar Melayu Diraja.

Mengulas lanjut, Siti Suriawati memberitahu, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan pada program berkenaan.

Malah, setiap aktiviti yang dilaksanakan adalah mengikut tahap usia murid-murid supaya mereka seronok bermain sambil menimba ilmu berhubung haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sementara itu, Guru Besar SJKT Kem Askar Melayu Diraja, K Sumathi berkata, program tersebut secara tidak langsung mendekati hati murid-murid agar menghargai dan mencintai alam demi kebaikan mereka di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan ini dapat melahirkan generasi yang bertanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan lebih menghargai pokok terutamanya.

"Dalam masa sama, murid-murid dapat mengetahui keperluan pokok yang banyak memberi kebaikan kepada kehidupan manusia dan haiwan," tuturnya.

Greening Malaysia: Love Our Forest II turut diserikan 10 penuntut mobiliti dari Queensland University of Technology (QUT), Australia yang menjadi fasilitator kepada murid-murid selain mempelajari kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok