40 mahasiswa UPSI dalami ilmu biodiversiti sungai
Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program University Social Responsibility (USR): Aqua Ranger pada Ahad lalu.
Program bertemakan Plastic and Litter Awareness: Technology for Environmental Unity itu bertujuan memupuk kesedaran mahasiswa serta komuniti mengenai kebersihan dan biodiversiti sungai.
Program yang disertai seramai 40 orang mahasiswa ini menfokuskan matlamat rancangan pembangunan mampan ke-14 iaitu kehidupan di dalam air.
USR: Aqua Ranger mendapat kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak Darul Ridzuan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Fakulti Sains dan Matematik UPSI yang dilaksanakan di Sungai Berof, Tanjong Malim, Perak.
Program ini merupakan salah satu usaha mahasiswa UPSI memastikan kelestarian alam semula jadi terjaga dan memberi impak positif terhadap masyarakat setempat melalui aktiviti yang dijalankan.
Pemeliharaan sungai ini merupakan satu langkah progresif ke arah mengembalikan kelestarian ekosistem.
Kesungguhan yang dipamerkan oleh setiap peserta tidak hanya memastikan pencapaian objektif program tetapi menjiwai semangat kumpulan dan perpaduan tanpa mengira kaum dan agama dalam mencapai objektif program ini.
Pembersihan sungai ini membuka peluang para peserta mengetahui akan kepentingan menjaga alam sekitar.
Keterlibatan jabatan pengairan dan saliran negeri perak ini mampu meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar seperti yang ditekankan dalam inovasi sosial, program Semarak Siswa Madani.
Sesi pengujian air yang disampel dari Sungai Berof, dilaksanakan di Makmal Sains Fakulti Sains dan Matematik bersama penyelaras Pusat STEM UPSI, Dr Adibah Abu Bakar.
Peserta telah didedahkan dengan kaedah menentukan kualiti air sungai melalui ujian pH.
Peserta juga diberi peluang menggunakan thermal cycler untuk melihat spesies ikan di sungai terbabit melalui kaedah analisis eDNA dalam air Sungai Berof.
Peserta telah menghasilkan video kreatif di instagram @uyeis.official bagi berkongsi hasil dapatan mereka bersama komuniti bagi menyebarkan kesedaran terhadap kebersihan sungai.
Melalui program ini, dapat dilihat bahawa penjagaan alam sekitar amat penting dalam memastikan kelestarian alam.
Kejayaan program ini bukan hanya terletak pada pembersihan sungai semata-mata, juga dalam menyemai kesedaran dan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.
Menerusi usaha itu, peserta dapat mempelajari ilmu sains di sebalik kebersihan sungai yang tidak tercapai melalui pancaindera.
Menjaga kebersihan sungai bukan sahaja menyokong kesejahteraan manusia, tetapi juga melindungi hidupan akuatik tempatan dan memastikan warisan alam sekitar yang lestari untuk generasi akan datang.