UPM hasilkan makanan khas ikan kelah bantu pendekkan jangka masa penternakan
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghasilkan formulasi makanan khusus untuk ikan kelah yang dapat membantu penternak dan pengusaha mengurangkan jangka masa penternakan kelah.
Ketua penyelidik, Profesor Dr Mohd Salleh Kamarudin dari Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM berkata, teknologi TropiCarp Premium Mahseer Feed merupakan makanan khusus ikan kelah pertama di negara ini yang dihasilkan melalui penyelidikan keperluan nutrien dan bahan yang lebih sesuai.
“TropiCarp Premium Mahseer Feed dibangunkan mengikut keperluan nutrien bagi tiga peringkat pembesaran ikan kelah merah iaitu pemula, pembesar dan pengakhir yang memberikan tumbesaran tinggi serta optimum pada ikan berkenaan malah ia mengambil masa tuaian lebih singkat.
“Pada Kebiasaannya, ikan kelah mengambil masa selama tiga hingga empat tahun untuk membesar sehingga mencapai satu kilogram (kg). Namun dengan penggunaan makanan kelah TropiCarp Premium Mahseer Feed, ia mampu memendekkan jangka masa penternakan kepada setahun lima bulan untuk pembesaran satu kg pembiakan dalam tangki,” ujarnya.
Menurut Mohd Salleh, makanan kelah TropiCarp Premium Mahseer Feed tidak mengandungi bahan terlarang dan pengilang mematuhi Good Manufacturing Practices (GMP) serta sistem pengurusan keselamatan makanan (HACCP) sepanjang penghasilan produk makanan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ikan kelah merah yang dikenali ‘Raja Sungai’ atau empurau dalam kalangan penduduk Sarawak mampu mencapai harga pasaran antara RM800 hingga RM1,200 satu kg dan menjadikannya ikan paling digemari oleh penternak dan pembiak hari ini.
“Saya berharap penghasilan TropiCarp Premium Mahseer Feed secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan penternak dengan lebih cepat.
"Selain ikan kelah merah atau empurau, TropiCarp Premium Mahseer Feed sesuai untuk spesies ikan kelah biru, tengadak, jelawat, temoleh, kerai kunyit, tenggalan dan sebarau," ujarnya.