(Ilustrasi AI)
(Ilustrasi AI)

UPM ke-31 dunia, No.1 Malaysia: Inspirasi kampus hijau buat pelajar sekolah

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
29 Dec 2025 11:00am

Ketika isu perubahan iklim dan kelestarian alam semakin menjadi kebimbangan global, Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan bahawa pendidikan tinggi mampu menjadi pemacu perubahan.

Terbaharu, UPM menduduki tempat ke-31 di peringkat global dalam UI GreenMetric World University Rankings 2025, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai kampus paling lestari nombor satu di Malaysia.

Pencapaian ini bukan sekadar angka atau pengiktirafan antarabangsa, sebaliknya membawa mesej besar kepada generasi muda khususnya pelajar sekolah bahawa usaha memelihara alam sekitar boleh bermula seawal di bangku sekolah dan berkembang hingga ke peringkat universiti.

Lebih membanggakan, kejayaan itu dicapai melalui penilaian berasaskan enam indikator utama kelestarian, termasuk pengurusan tenaga, infrastruktur hijau, pengangkutan mesra alam, pengurusan sisa, sumber air dan pendidikan serta penyelidikan berkaitan alam sekitar. Ia mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam membina ekosistem kampus yang seimbang antara pembangunan dan kelestarian.

Bagi pelajar sekolah yang kini semakin terdedah kepada isu perubahan iklim, pencapaian UPM ini membuka mata bahawa pendidikan hijau bukan sekadar teori di dalam buku teks, tetapi boleh diterjemahkan dalam kehidupan seharian daripada cara kampus diuruskan hinggalah kepada budaya warganya.

Dari sekolah ke universiti hijau

Di sebalik kedudukan ke-31 dunia itu, terselit satu inspirasi besar iaitu perjalanan pendidikan yang berteraskan nilai kelestarian.

Ramai pelajar sekolah hari ini terlibat dengan aktiviti kelab alam sekitar, program kitar semula, kebun sekolah dan kempen hijau. UPM hadir sebagai gambaran masa depan tempat nilai-nilai tersebut diteruskan, diperkukuh dan dikembangkan melalui pendidikan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Bila tengok universiti tempatan diiktiraf di peringkat dunia dalam kelestarian, ia buat kami rasa usaha kecil di sekolah sebenarnya ada kesinambungan," kata seorang pelajar sekolah menengah yang aktif dalam kelab alam sekitar, ketika ditanya pandangannya mengenai kejayaan UPM.

UPM bukan sahaja mendidik pelajar menjadi graduan cemerlang, malah membentuk warga berilmu yang berbakti kepada alam dan masyarakat, selari dengan moto universiti itu sendiri, Berilmu Berbakti.

Kedudukan sebagai kampus hijau No.1 di Malaysia turut memperkukuh peranan UPM sebagai rujukan dan inspirasi kepada institusi pendidikan lain termasuk sekolah.

Dalam dunia yang semakin mencabar dari segi alam sekitar, kejayaan UPM ini menjadi peringatan bahawa pendidikan adalah kunci utama perubahan.

Bagi pelajar sekolah, ia adalah dorongan awal untuk bermimpi lebih jauh bahawa suatu hari nanti, mereka juga boleh menjadi sebahagian daripada generasi yang memimpin kelestarian, bermula dari sekolah hingga ke universiti bertaraf dunia.

Tahniah UPM!

Ringkasan AI

  • Universiti Putra Malaysia menduduki tempat ke-31 di peringkat global UI GreenMetric World University Rankings 2025 sebagai kampus paling lestari di Malaysia
  • Pencapaian ini mengukuhkan pendekatan pendidikan tinggi dalam memacu perubahan iklim dan kelestarian alam
  • UPM diiktiraf berdasarkan enam indikator utama kelestarian termasuk pengurusan tenaga dan infrastruktur hijau
  • Pencapaian UPM memberi inspirasi kepada pelajar sekolah tentang pentingnya pendidikan hijau dan usaha memelihara alam sekitar
  • UPM membina ekosistem kampus yang berimbang antara pembangunan dan kelestarian, menerusi pendidikan dan penyelidikan berkaitan alam sekitar
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp