No Image Caption

Pelajar sekolah cipta sejarah di Malaysia Techlympics 2025! Dua rekod MBOR bukti kuasa STEM generasi muda

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
11 Nov 2025 05:22pm

Semangat dan kebijaksanaan pelajar sekolah dari seluruh negara menyerlah di pentas Malaysia Techlympics 2025, apabila program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) serentak pada peringkat akhir kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Dua pengiktirafan itu ialah bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Belia Antarabangsa serta Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak Dalam Bangunan yang mana kedua-duanya disertai majoritinya oleh pelajar sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara.

Lebih membanggakan, program dua hari itu menghimpunkan 4,750 pelajar daripada 1,289 pasukan yang berentap dalam 35 pertandingan STEM, memperlihatkan kehebatan dan kreativiti anak muda Malaysia dalam bidang teknologi, inovasi dan kejuruteraan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kejayaan ini bukti bahawa pelajar sekolah kini semakin berani meneroka bidang sains dan teknologi, sekali gus tonggak kepada kemajuan negara pada masa hadapan.

“MOSTI komited memastikan generasi muda negara bersedia menghadapi masa depan yang dipacu teknologi baharu seperti robotik autonomi dan kecerdasan buatan (AI). Melalui Malaysia Techlympics, pelajar bukan hanya bertanding, tetapi mereka belajar berfikir secara saintifik, menyelesaikan masalah dan berinovasi,” katanya pada Majlis Penutup Malaysia Techlympics 2025 Peringkat Akhir Kebangsaan, yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Tambahnya, program keterangkuman turut menjadi fokus utama penganjuran apabila 85 siri program outreach dilaksanakan di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar bagi memberi peluang kepada murid dari pelbagai latar belakang menyertai dunia STEM.

“Kita mahu memastikan tiada pelajar dipinggirkan. Semua berhak mendapat peluang untuk belajar, mencuba dan meneroka potensi diri melalui teknologi dan inovasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak dilancarkan pada Mei lalu, Malaysia Techlympics 2025 telah menarik lebih 1.8 juta penyertaan termasuk pelajar luar negara seperti dari Indonesia, Thailand, Kemboja, China dan Mongolia.

Program ini bukan sekadar pertandingan tetapi platform pembelajaran berimpak tinggi yang membantu pelajar membina kemahiran masa depan, memperkukuh minat terhadap STEM dan memupuk budaya ingin tahu serta daya cipta di kalangan murid.

Dengan semangat yang dibawa oleh generasi muda ini, Malaysia terus melangkah yakin menuju masa depan yang digerakkan oleh ilmu, teknologi dan inovasi.

Ringkasan AI

  • Semangat dan kebijaksanaan pelajar sekolah menonjol di Malaysia Techlympics 2025 yang mencipta dua rekod baharu MBOR
  • Program ini diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dengan penyertaan 4,750 pelajar dari 1,289 pasukan
  • Malaysia Techlympics merupakan usaha MOSTI untuk mendorong minat dan kemahiran pelajar dalam STEM
  • Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan program ini membuktikan semangat pelajar dalam eksplorasi sains dan teknologi
  • Program ini juga termasuk 85 siri program outreach untuk inklusiviti pelajar dari pelbagai latar belakang
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp