UPM perkenal kaedah tanam sayuran kepada komuniti bandar
Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear (PPDN), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan kaedah penanaman vertical farming kepada komuniti Persatuan Penduduk JMB blok Kemuning/Kempas Pangsapuri PKNS, Seri Kembangan baru-baru ini.
Pengarah PPDN, UPM, Profesor Dr Subapriya Suppiah berkata, projek KTGS@PTJ PPDN mendapat kerjasama dari Fakulti Pertanian dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) bermula pada Oktober 2023, bertujuan menggalakkan penghuni setempat mempelajari cara pertanian untuk kegunaan sendiri.
“Kaedah ini membolehkan komuniti tempatan berjimat kos perbelanjaan barangan runcit dengan menanam sendiri sayuran di kawasan rumah dan menjana ekonomi isi rumah dengan hasil tanaman sayur,” katanya.
Ujar beliau, sekalipun PPDN tidak fokus kepada pertanian dari segi kesihatan mereka dapat mendidik komuniti tentang perubatan serta kepentingan pemakanan sihat sayur-sayuran.
Pengerusi JBM Pangsapuri PKNS Blok Kemuning/Kampas, Suboh Kasim berkata, program seperti ini sangat bermanfaat kepada komuniti untuk memperoleh ilmu penanaman sayuran dengan mempraktikan kaedah yang berkesan.
“Kami sangat mengalu-alukan UPM untuk membantu komuniti dengan mengadakan aktiviti yang bermanfaat seperti ini dan perancangan akan datang bagi menambah penanaman sayuran dan buah-buahan seperti seperti bendi dan sun melon,” katanya.
Untuk rekod, program itu disertai seramai 30 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKH2104: Keusahawanan Siswa UPM.
Pelajar Tahun 1, Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Toh Chun Liang menyatakan program itu merupakan pengalaman pertama beliau mengikuti kegiatan sebegini dan beliau teruja dapat membantu komuniti setempat.
“Walaupun saya mempelajari bidang veterinar, ilmu pertanian ini sangat berguna bagi saya dan sekaligus dapat berbakti kepada komuniti,” katanya.