UPSI hulur bantuan persekolahan, terajui pendidikan bitara bagi masyarakat Orang Asli
Semua kalangan masyarakat berhak menerima pendidikan yang sempurna.
Malah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga banyak mengambil langkah baru dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak mengalami keciciran dan dapat belajar dengan sejahtera di sekolah.
Bagi menyokong aspirasi KPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama dengan Yakult, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim dan Pusat Kesihatan Muallim menganjurkan program Back To School di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Slim River, Perak baru-baru ini.
Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, UPSI, Dr Che Anuar Che Abdullah berkata, program bertujuan memupuk perpaduan antara UPSI dan masyarakat Orang Asli.
“Program sebegini melahirkan rasa tanggungjawab sosial untuk bersama memberikan sesuatu yang bermanfaat dalam komuniti setempat.
“Sikap ambil peduli dan ganding bahu perlu kita tanam untuk membangun masyarakat madani dan menerajui kecemerlangan intelek bagi anak-anak Orang Asli.
“UPSI pastinya akan sentiasa menyokong demi kebitaraan pendidikan di Malaysia. Dengan kepakaran dalam pelbagai bidang, sudah pasti universiti akan terus bersama masyarakat untuk sama-sama membangun pendidikan berkualiti tanpa menilai latar belakang, kaum dan nilai perbezaan,” ujarnya.
Sementara itu, kelestarian dalam menghidupkan kecemerlangan pelajar Orang Asli menjadi tanggungjawab bersama.
Semua pihak perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang ada di daerah pedalaman.
Guru besar SK Pos Bersih, Cikgu Mohd Shah Md Nor menzahirkan rasa syukur dan senang apabila UPSI bersama-sama dengan rakan kolaborasi hadir ke sekolah dan membawa warna baru dalam suasana persekolahan anak Orang Asli.
“Melihat kerjasama ini, membuatkan kami warga pendidik akan berusaha memberikan yang terbaik dalam menyediakan pengajaran dan pembelajaran berkualiti seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, seramai 14 anak Orang Asli telah terpilih menerima sumbangan alat persekolahan dan suntikan motivasi bersemangat hadir ke sekolah menerusi program Back To School.
Mereka juga diberi pendedahan berkaitan kebersihan diri, kesihatan tubuh badan dan imunisasi dalam mengelakkan diri dari terkena penyakit berjangkit melalui program sama.
Akhir sekali, UPSI akan sentiasa komited melestarikan budaya cemerlang dalam kalangan mahasiswa untuk terus menabur bakti di samping membentuk jati diri mereka untuk terus unggul dan menjadi penerus bangsa yang mempunyai nilai kemasyarakatan tinggi dan berwawasan.