Md Amin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarhamah Nur Farah Kartini di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.
Md Amin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada ibu Allahyarhamah Nur Farah Kartini di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.

UPSI salur bantuan kepada keluarga arwah Nur Farah Kartini

18 Jul 2024 09:31am

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan kepada keluarga bekas pelajarnya, Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, termasuk kos penginapan dan pengangkutan sepanjang tempoh mereka berada di Tanjung Malim, Perak.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, ia sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan khususnya dalam menyelesaikan urusan dengan pelbagai pihak.

"Pihak UPSI menyediakan kemudahan penginapan dan kenderaan kepada keluarga mangsa bagi memudahkan urusan ke hospital, balai polis, mahkamah serta sebagainya.

"Malah, pihak UPSI turut menyediakan beberapa bas bagi petugas dan pelajar yang ingin mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan serta sokongan kepada Allahyarham," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin lepas, mayat Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, Selangor kira-kira 6 petang.

Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, setelah menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Sementara itu, Md Amin berkata, pihaknya amat menitikberatkan nilai ukhuwah sebagai antara kaedah memastikan kebajikan setiap warga UPSI terbela.

"UPSI merupakan universiti yang unik kerana setiap warga yang mencurahkan bakti di universiti ini dianggap sebagai aset yang sangat berharga," katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Terdahulu dalam kenyataan sama, universiti itu menerusi Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dan Pusat Islam menganjurkan majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarham Nur Farah Kartini yang turut disertai Md Amin dan petugas serta pelajar di Masjid Al- Mursyidin Kampus Azlan Shah pada Rabu - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp