
UPTM cipta rekod Malaysia: 500 belia bentang penyelidikan SDG serentak
Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) melalui penganjuran Cabaran Pembentangan Penyelidikan Belia Terbesar Pertama, The United Sustainable Development Goals (SDGs) di Malaysia, melibatkan 500 pelajar membentangkan idea penyelidikan secara serentak.
Program berimpak tinggi itu bukan sahaja mencatat rekod, malah menjadi platform pembangunan bakat belia yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai fakulti untuk mempersembahkan kajian secara ringkas, kreatif dan padat.
Naib Canselor UPTM, Profesor Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, program itu bukan sekadar pertandingan, malah medan penting membentuk keberanian dan kepimpinan intelektual belia.
"Cabaran ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk melahirkan pemikir muda yang berani mencadangkan penyelesaian kepada cabaran sebenar," katanya.

Inisiatif tersebut turut memantapkan kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kreativiti dan kolaborasi - selari dengan matlamat SDG4 (Quality Education), SDG8 (Decent Work & Economic Growth) dan SDG9 (Industry, Innovation & Infrastructure) serta prinsip ESG.
Gabungan SDG dan ESG menjadikan program ini sebagai pelantar strategik melahirkan generasi muda yang lebih beretika, inovatif dan bertanggungjawab.
Usaha ini turut menyokong dasar nasional seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) serta Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), seiring komitmen kerajaan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Program tersebut dijalankan dalam 21 sesi selari, dengan setiap peserta diberi masa tiga minit menggunakan satu slaid pembentangan.
Semua sesi dipantau moderator, direkodkan melalui video dan disahkan menggunakan QR Code, memastikan ketelusan serta ketepatan rekod acara.

Seramai 500 e-poster penyelidikan turut dihasilkan sebagai dokumentasi rasmi, menjadikan program ini antara platform pembelajaran paling komprehensif pernah dianjurkan UPTM.
Program tersebut turut disokong dan disahkan oleh MY-SDG Academy serta Sekretariat All Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG), sebagai rakan strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan negara.
Ringkasan AI
- Universiti Poly-Tech Malaysia diiktiraf Malaysia Book of Records atas penganjuran Cabaran Pembentangan Penyelidikan Belia Terbesar Pertama yang melibatkan 500 pelajar
- Program ini menjadi platform pembangunan bakat belia melalui penyampaian kajian secara kreatif dan padat
- Dianggap sebagai medan penting untuk memupuk keberanian dan kepimpinan intelektual di kalangan pemikir muda
- Memantapkan kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kreativiti, dan kolaborasi selaras dengan matlamat SDG dan prinsip ESG
- Penyertaan dan dokumentasi program dilaksanakan dengan ketelusan, melibatkan 21 sesi serentak dan penggunaan e-poster sebagai dokumentasi rasmi