UTeM berduka kehilangan dua pelajarnya! 'Kami akan bantu urus jenazah Nurul Syafiqah & Nurhanis Afryna' - Naib Canselor
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan seluruh warganya sangat berdukacita atas pemergian dua pelajar mereka yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara pada pagi Khamis.
Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun dan menaiki Perodua Myvi dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di KM 187.6 itu.
Selain mereka, dua lagi pelajar UTeM iaitu Nur Hanis Suraya Supiyan dan Azwalidiya Azman terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan serta sedang dirawat di Hospital Melaka.
"Sejurus mendapat maklumat tentang kemalangan terbabit, pihak UTeM segera bertindak menguruskan segala perkara berkaitan.
"Antaranya menguruskan jenazah mereka di Hospital Jasin yang perlu melalui proses post mortem terlebih dahulu.
"Selepas selesai urusan di sini, kami akan membantu proses menghantar pulang dua jenazah ke kampung halaman masing-masing iaitu di Muadzam Shah, Pahang dan Gemencheh, Negeri Sembilan bagi urusan pengkebumian," kata Massila.
Mengulas lanjut, Massila berkata, UTeM akan menguruskan pula pampasan insurans kematian dan menghulurkan sumbangan menerusi Tabung Khairat Pelajar kepada keluarga arwah.