Proses pendaftaran pelajar baharu berlangsung dengan lancar di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM.
Proses pendaftaran pelajar baharu berlangsung dengan lancar di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM.

UTeM jadi buruan anak-anak muda! ‘Kami terima pelajar paling ramai bagi sesi kali ini’ - Naib Canselor

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Oct 2024 07:35pm

Kemasukan pelajar baharu semester satu sesi 2024/2025 ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatat sejarah apabila jumlahnya paling ramai sejak penubuhan universiti itu pada tahun 2000.

Dalam masa sama, jumlah 2,896 pelajar baharu kali ini, turut dikatakan telah meningkat dari tahun-tahun sebelumnya iaitu 2,043 pelajar (tahun 2022) dan 2,530 orang (2023).

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin melahirkan rasa gembira apabila universiti itu menunjukkan peningkatan tiga tahun secara berturut-turut.

"Saya yakin, corak peningkatan ini disebabkan UTeM selaku universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Malaysia sekali gus terus menjadi pilihan dan buruan utama lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

"Faktor lain menjadi pilihan mereka disebabkan UTeM mencatatkan kejayaan cemerlang dengan menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 sebanyak 97.7 peratus,” katanya dengan menambah pengajian di UTeM menepati keperluan dan permintaan semasa industri selaku penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan.

Mengulas mengenai pengajian yang bakal diikuti 2,896 pelajar baharu, Massila berkata, jumlah itu dipecahkan kepada beberapa kategori.

"999 pelajar mengikuti program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).

"Manakala 727 lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP),” tuturnya.

Ulas beliau lagi, kira 667 pelajar lain mendaftar bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Selebihnya mendaftar jurusan Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) seramai 503 orang.

"Mereka mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) bermula Isnin hingga Jumaat ini bersama-sama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian Ogos lalu,” akhiri Massila.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp