Sesi menandatangani dokumen MoU secara dalam talian antara UTeM dan LZJT baru-baru ini.
Sesi menandatangani dokumen MoU secara dalam talian antara UTeM dan LZJT baru-baru ini.

UTeM jalin kerjasama strategik bersama institusi pendidikan TVET China

ROSHLAWATY MD RAIEH
05 May 2023 05:32pm
A
A
A

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan skop Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi di peringkat antarabangsa dengan menjalin kerjasama strategik bersama institusi pendidikan TVET China.

Perkara ini dizahirkan menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan secara dalam talian antara UTeM dan Liuzhou Jiaotong School (LZJT), China baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara elemen kerjasama UTeM dan LZJT tertumpu kepada kemasukan penuntut antarabangsa, kurikulum akademik, pertukaran staf akademik, kolaborasi persidangan UTeM-LZJT serta program latihan amali antara Malaysia dan China.

Jelasnya, UTeM menyediakan laluan kepada pelajar LZJT lulusan Sekolah Vokasional Tinggi untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi yang ditawarkan di UTeM.

“Lulusan LZJT adalah setara dengan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan perlu melalui beberapa kursus ‘bridging’ yang disediakan di UTeM terutamanya dalam pembelajaran bahasa Inggeris.

“MoU ini turut membuka ruang untuk perjalanan program-program lain termasuklah pembangunan kurikulum pembelajaran TVET di samping peluang latihan amali di China dan beberapa sesi perkongsian ilmu dan teknologi antara dua negara,” ujarnya.

Katanya, kerjasama ini turut meningkatkan kebitaraan mahasiswa UTeM dalam bidang TVET dengan menggunakan sistem dan teknologi berorientasikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta membudayakan digitalisasi selaras dengan kehendak semasa.

Mengulas lanjut, Massila berkata, agenda ini telah mempamerkan kesungguhan dan proaktif UTeM dalam usaha merancakkan pemerkasaan TVET aras tinggi bukan hanya dalam negara malahan merentas sempadan dunia.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan negara yang ingin melihat universiti awam teknikal seperti UTeM memperkasakan agenda TVET sehingga ke akar umbi,” jelasnya lagi.

MoU antara UTeM dan LZJT berkuatkuasa bagi tempoh lima tahun bermula April 2023 hingga April 2028.

Majlis MoU antara UTeM dan LZJT yang diadakan dalam talian itu disempurnakan oleh UTeM yang diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Ts Dr Effendi Mohamad.

Bagi LZJT pula diwakili Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia, Esther Low serta Pengetua LZJT, Huang Yan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok