Ia selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.
Ia selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Belajar TVET di China?

19 Feb 2024 08:33pm
A
A
A

Kerajaan berhasrat menghantar pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di China, selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan itu antara usaha kerajaan dalam memperkasa TVET negara selepas berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengambil jurusan itu di Jepun dan Korea Selatan.

"Selain Jepun dan Korea Selatan, saya yakin hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan melihat juga penghantaran pelajar dari Malaysia ke China bagi mempelajari beberapa bidang ilmu berteknologi tinggi.

"Dasar Pandang Ke Timur 1.0 tidak memasukkan China sedangkan mereka sama maju kalau tidak pun lebih dari Jepun dan Korea Selatan," katanya kepada media Malaysia selepas melawat Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN di sini pada Isnin.

Ahmad Zahid (kiri) berbual dengan Presiden NIT, KOSEN, Isao Taniguchi ketika mengadakan lawatan ke institut itu pada Isnin.
Ahmad Zahid (kiri) berbual dengan Presiden NIT, KOSEN, Isao Taniguchi ketika mengadakan lawatan ke institut itu pada Isnin.

Model KOSEN menekankan konsep pembelajaran TVET lebih menyeluruh dan terangkum dengan menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang itu seawal usia 15 tahun.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid ketika majlis ramah mesra dengan kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jepun, memaklumkan lebih ramai pelajar akan dihantar mengikuti pengajian TVET di luar negara selaras usaha kerajaan memperkasa bidang TVET negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun berkata, Dasar TVET Negara dijangka dibentang di Kabinet pada Mac nanti sebelum dilancarkan pada 2 Jun depan, sempena Hari TVET Negara.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kerangka utama dasar tersebut sudah tersedia dan pihak Sekretariat TVET sedang mengemas kini semua maklumat.

Ahmad Zahid berkata, pihak Sekretariat TVET juga telah mengedarkan Dasar TVET Negara kepada 12 Kementerian, Jabatan Peguam Negara dan beberapa agensi lain untuk mendapatkan pandangan.

"Setelah ini selesai, kami akan lakukan pembentangan kepada Jemaah Menteri. Insya-Allah pada Mac ini, saya sendiri akan membentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dapatkan kelulusan bagi pelaksanaan dan pelancarannya pada Jun nanti," katanya.

Ketika ini, Malaysia mempunyai 1,345 institusi TVET dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 92.5 peratus.

Ahmad Zahid juga berkata rangka kerja itu akan menjadi garis panduan untuk program TVET di seluruh negara bagi disesuaikan demi memenuhi keperluan industri.

"Dasar ini juga akan digubal bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing tenaga kerja di samping meletakkan asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara yang mampan," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok