UTeM menjana graduan menerusi bidang pengajian yang terus menjadi buruan industri dalam dan luar negara.
UTeM menjana graduan menerusi bidang pengajian yang terus menjadi buruan industri dalam dan luar negara.

UTeM tawar tiga program pantas TVET

24 May 2024 04:51pm

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan tiga program Ijazah Sarjana Muda Teknologi baharu yang hanya mengambil masa pengajian selama 3 tahun.

Ia adalah Sarjana Muda Teknologi Internet of Things (IOT) dengan kepujian, Sarjana Muda Teknologi Telekomunikasi dengan kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan dan Aplikasi dengan kepujian.

Naib Canselor UTeM, Professor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ketiga-tiga program baharu itu berbeza dengan kursus ditawarkan sebelum ini yang mengambil masa pengajian selama empat tahun.

“Peluang keemasan ini terbuka kepada lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UTeM,” ujar beliau.

Sehubungan itu, siri pengajian bagi ketiga-tiga program tersebut akan bermula pada kemasukan pelajar baharu bagi semester satu (Oktober) Sesi 2024/2025.

Untuk rekod, silibus bagi ketiga-tiga program ini dibentuk dengan kerjasama ZTE Education China yang mana China sebagai negara pesat dalam perkembangan teknologi dunia.

Di samping itu, UTeM terkenal dalam menawarkan program pengajian yang menghasilkan graduan berdaya kebolehpasaran tinggi dan sentiasa menjadi pilihan utama para majikan peringkat global.

Massila berkata, usaha ini turut memenuhi kriteria pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG-4) dan Kerjasama Demi Matlamat (SDG-17) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel Berkaitan:

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Professor Dr Zulkifilie Ibrahim juga menyatakan kurikulum programnya diformulasikan dengan kadaran 60 peratus praktikal, manakala hanya 40 peratus berasaskan teori.

Ia bertujuan memberi fokus kepada pembangunan aras tinggi TVET sepenuhnya tanpa peperiksaan akhir setiap semester.

Sementara itu, sebanyak 42 program sarjana muda di samping lima program diploma yang ditawarkan di UTeM, melahirkan graduan yang mendapat permintaan tinggi daripada majikan.

“Hasilnya terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan UTeM terus mencatatkan peningkatan peratusan yang tinggi pada setiap tahun,” tambahnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp