Pengiktirafan yang diumumkan itu membolehkan UUM berada di tangga ke-71 terbaik dunia berbanding tangga ke-95 pada tahun lalu.
Pengiktirafan yang diumumkan itu membolehkan UUM berada di tangga ke-71 terbaik dunia berbanding tangga ke-95 pada tahun lalu.

UUM diiktiraf universiti awam nombor satu di Malaysia

14 May 2024 05:49pm
A
A
A

Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai universiti ke-71 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024, sekali gus meletakkannya sebagai universiti awam nombor satu di Malaysia.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan berkata, pengiktirafan yang diumumkan itu membolehkan UUM berada di tangga ke-71 terbaik dunia berbanding tangga ke-95 pada tahun lalu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga universiti yang bertungkus lumus bekerja untuk meletakkan UUM sentiasa dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa. Ia bukan mudah, apabila universiti perlu bersaing dengan universiti terkemuka lain untuk berada di kedudukan 100 teratas ini.

"Sempena usia UUM yang ke-40 tahun, keputusan ini telah menunjukkan UUM terus unggul di persada antarabangsa khususnya dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan serta sains sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan UUM yang melonjak itu didorong oleh indikator kualiti penyelidikan, selain mengekalkan markah tinggi untuk kategori pengajaran dan persekitaran penyelidikan.

"Ini secara tidak langsung meletakkan imej dan nama UUM sebaris dengan universiti ternama dunia yang telah mencipta rekod tersendiri,” katanya.

THE Young University Rankings 2024 menggunakan 17 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran, kualiti penyelidikan, persekitaran penyelidikan, pandangan antarabangsa dan pendapatan industri di mana pengiktirafan yang dikeluarkan secara tahunan itu menyaksikan lebih 673 universiti dari seluruh dunia disenaraikan bagi penarafan 2024. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok