Anwar (dua dari kiri) menyaksikan pemeteraian kerjasama di antara wakil UUM dengan pihak institusi pendidikan dari Uzbekistan.
Anwar (dua dari kiri) menyaksikan pemeteraian kerjasama di antara wakil UUM dengan pihak institusi pendidikan dari Uzbekistan.

UUM jalin kerjasama dengan empat institusi di Uzbekistan

20 May 2024 03:40pm

Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia mengukuhkan hubungan global melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan empat institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan pada Sabtu.

Empat institusi itu ialah Banking and Finance Academy (BFA), Oriental University (OU), Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT) dan Tashkent State University of Economics (TSUE).

Naib Canselor, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan mewakili UUM pada majlis pemeteraian MoU itu, manakala Rektor BFA, Dr Khoshimov Elmurod bagi pihak institusi tersebut dan TSUE oleh Rektornya Profesor Teshabayev To'lqin Zakirovich.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Kompleks Laluan Sutera Samarkand dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.

Selain itu, majlis menyaksikan Rektor OU, Profesor Murodjon Ubaydullaevich Akhmedov menandatangani MoU berkenaan dan Rektor Azizkhon Nodirov mewakili TIFT.

Mohd Foad dalam kenyataan memaklumkan pemeteraian memorandum ini menandakan satu peristiwa penting dalam mempromosikan kerjasama, pertukaran dan perkongsian akademik antara UUM dan institusi di Uzbekistan yang dihormati.

Beliau berkata, kerjasama antara Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) dan BFA bertujuan mengembangkan kewujudan sekolah perniagaan global yang teguh di Uzbekistan, mengutamakan peningkatan kualiti pendidikan dan kerjasama antarabangsa.

"Melalui kerjasama ini, program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM) OYAGSB akan beralih ke BFA Global MBA, menawarkan pelajar Uzbekistan akses kepada kurikulum yang diiktiraf dan pengalaman pembelajaran yang mendalam.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini juga menyasarkan peningkatan taraf pendidikan perniagaan dengan menyumbangkan pengetahuan komprehensif dan kemahiran kepimpinan," katanya.

Seterusnya, School of Quantitative Sciences (SQS) UUM memilih untuk memperkukuh hubungan akademik dan dua hala dengan TIFT serta TSUE.

"Pemeteraian MoU ini menandakan detik penting dalam memupuk kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan penerbitan. Selaras dengan perkongsian ini, SQS UUM bersedia untuk menganjurkan seminar antarabangsa di TSUE pada Oktober 2025, menumpukan kepada memanfaatkan kaedah kuantitatif untuk inovasi era digital," katanya.

Mohd Foad berkata selain itu, tumpuan juga pada inisiatif berterusan termasuk program pertukaran pelajar dan petugas, serta peningkatan pemberian geran padanan dengan kedua-dua universiti.

"Pada dasarnya, kerjasama antara UUM dan institusi berprestij di Uzbekistan, menandakan kemajuan luar biasa dalam mempromosikan kecemerlangan akademik dan kolaborasi antarabangsa. Melalui MoU ini, kerjasama berkenaan menunjukkan dedikasi bersama untuk meningkatkan kualiti pendidikan, memupuk kerjasama penyelidikan dan inovasi akademik," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp