Khairul (kanan) dan Ahmad Martadha melawat reruai cendol pandan.
Khairul (kanan) dan Ahmad Martadha melawat reruai cendol pandan.

UUM terima peruntukan RM70,500 bantu siswa asnaf jadi usahawan francais

11 Sep 2024 05:30pm

Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima sejumlah RM70,500 sebagai peruntukan bagi pelajar dalam kategori asnaf untuk dilatih menjadi usahawan francais.

Pelajar terlibat akan memulakan perniagaan berdasarkan kepada pakej yang dipilih dengan bimbingan dan pemantauan berterusan selama enam bulan dengan diajar pelbagai ilmu mengurus, cara menarik pelanggan, membina rangkaian, membantu jualan serta suntikan modal.

Pada peringkat awalnya, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu dua kumpulan menjalankan perniagaan Monti Keopi dan satu kumpulan menjalankan perniagaan cendol pandan pada awal bulan Oktober nanti.

Kesemua perniagaan peserta akan ditempatkan di Inasis TNB, Inasis YAB dan Inasis BSN dengan sokongan daripada rakan-rakan pengetua inasis UUM.

Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) mewakili UUM untuk mencari pelajar dan membimbing pelajar menjadi usahawan francais.

Terdahulu, Ketua Pegawai Kewangan RHB Islamic Bank, Khairul Hakeem Mohamed Sahari menyerahkan dana berjumlah RM70,500 kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed di sebuah majlis penyerahan tajaan perniagaan bertempat di Varsity Mall, baru-baru ini.

Majlis itu sempena program B40 Empowerment Strategy-Be Your Own Boss (BEST-BYOB), sebuah hasil kerjasama strategik antara bank berkenaan dengan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) di bawah inisiatif i-Tekad.

Untuk rekod, UUM menjadi universiti kedua di negara ini dibantu oleh RHB Islamic Bank dengan kerjasama Pernas bagi menyediakan program latihan dan bimbingan berterusan oleh pemberi francais.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp