Wajib konsisten setiap semester, kongsi penerima anugerah kecemerlangan MSU
Keputusan cemerlang pada setiap semester, bergiat aktif dalam pelbagai program dalam dan luar kampus membuktikan peluang menukar jurusan yang diberikan oleh Management and Science University (MSU) tidak pernah sekali disia-siakan.
Ini terbukti apabila Eizah Eriyana Suzare, 24, berjaya menamatkan pengajian dalam Bachelor in Outdoor Recreation Management (Hons) melalui School of Hospitality & Creative Arts (SHCA), dianugerahkan dengan Mohd Shukri Yajid Outstanding Awards pada Majlis Konvokesyen MSU ke-34, baru-baru ini.
“Terima kasih kepada keseluruhan pengurusan serta para pensyarah kerana memberikan saya peluang untuk bertukar dari jurusan undang-undang yang mana prosesnya panjang. Saya memang tidak menyangka terpilih untuk anugerah ini.
“Ini rezeki, saya terima dan bersyukur kepada ALLAH. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan ini tetapi Alhamdulillah pada setiap semester, saya konsisten memperoleh keputusan CGPA 3.7 dan ke atas dari awal sehingga akhir.
“Perkara utama yang sentiasa dititik beratkan adalah tidak bertangguh dalam apa saja perkara. Sebagai contoh, tugasan yang diberikan oleh pensyarah, saya pastikan siap dan hantar sebelum diminta.
“Tangguh boleh merosakkan jadual harian saya yang juga aktif dalam ko-kurikulum,” katanya selepas sesi konvokesyen berkenaan baru-baru ini.
Eizah Eriyana yang juga merupakan Exco Sukan dan Rekreasi, Majlis Perwakilan Pelajar MSU berkata, selain sokongan ibu bapa, pensyarah dan rakan kuliah turut mendukung kejayaannya.
“Saya selalu bertukar ilmu pengetahuan dalam pelajaran dan aktiviti kelab dengan semua rakan kuliah khasnya yang saya kenali. Perbincangan adalah menambahbaik kaedah kami belajar untuk skor dan sebagainya.
“Pada sebelah malam, saya akan memastikan untuk mengulangkaji pelajaran dan siapkan tugasan. Jika ada perkara yang kurang jelas dan tidak difahami. Saya pasti akan mendapatkan penjelasan daripada pensyarah secara bersemuka.
“Walaupun ibu ayah sudah berpisah dan mempunyai pasangan masing-masing, itu tidak mematahkan semangat untuk saya berjaya. Saya bersyukur, mereka berdua sentiasa menyokong saya dalam apa saya yang saya lakukan,” katanya.