Amin Zulharis (kiri) dan Danish (kanan) melakar sejarah apabila muncul pelajar terbaik dunia dalam ACCA.
Amin Zulharis (kiri) dan Danish (kanan) melakar sejarah apabila muncul pelajar terbaik dunia dalam ACCA.

'Wajib usaha bukan kerana genius' - Rahsia kejayaan 2 pelajar UiTM terbaik dunia

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
23 Dec 2024 10:50am

Perkataan genius sering dituju kepada seseorang yang berjaya menempah nama di peringkat dunia dalam bidang pendidikan mahupun inovasi.

Kali ini, genius yang Sinar Bestari bawakan ialah dua pelajar universiti yang mengejutkan Malaysia, bahkan peringkat antarabangsa apabila merekodkan pencapaian terbaik iaitu merangkul tempat pertama dan keempat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) tahun 2024.

Namun, gelaran itu disifatkan sangat berat buat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Amin Zulharis Basarudin, 21, meskipun berjaya meraih tempat pertama di Malaysia dalam peperiksaan ACCA bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

"Saya adalah individu yang sekiranya hendak berjaya, perlu berusaha.

"Bagi mendapatkan kedudukan dalam peperiksaan ACCA ini, seseorang itu perlu tahu arah tujuan dan kejayaan yang hendak dicapai.

"Saya tidak pernah mendapat pendedahan mengenai subjek Prinsip Perakaunan. Jadi, perlu berusaha untuk mencapai apa yang diingini,” katanya baru-baru ini.

Bagi sesetengah pelajar, berehat atau bermain telefon bimbit adalah lumrah sekiranya ada waktu terluang, namun tidak bagi Amin Zulharis.

Kongsi anak muda kelahiran negeri Kedah itu, dia lebih memilih ulang kaji pelajaran dengan komputer ribanya saban hari.

Artikel Berkaitan:

"Kalau berasa bosan, saya buka komputer riba untuk meneroka dan belajar sedikit. Tidak fokus pun tak apa, lihat-lihat sahaja subjek yang kita pelajari, sambil dengar lagu. Tiada masalah,” katanya.

No Image Caption

Ditanya mengenai sejarah pendidikan semasa di sekolah menengah, Amin Zulharis berkata, dia belajar di sekolah aliran sains.

Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Amin Zulharis mengakui terdetik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan selepas menonton berita di televisyen.

Tindakan itu berlaku selepas dia menyaksikan beberapa pelajar ACCA Malaysia menempah nama apabila berada dalam kedudukan terbaik bagi peperiksaan tersebut.

"Masa itu, ada juga pelajar Malaysia dapat nombor satu di dunia.

"Kita tengok pun rasa menarik, hendak jadi macam dia dan masuk ACCA.

"Walaupun di sekolah dan rumah tiada pendedahan dengan subjek ini, tetapi saya rasa seronok nak belajar,” ujarnya lagi.

No Image Caption

Danish pilih untuk fokus dua jam

Setiap orang mempunyai masa tersendiri untuk kekal fokus dan memberi perhatian penuh semasa belajar atau membuat ulang kaji pelajaran.

Tempoh sesuai untuk belajar selalunya berbeza-beza bagi setiap individu bergantung kepada pelbagai faktor seperti rutin harian, kesihatan dan keutamaan peribadi.

Begitu juga dengan pelajar cemerlang dari UiTM Shah Alam, Danish Zafran Bazam, 22, yang mengakui tidak sanggup belajar untuk tempoh yang panjang.

Danish berkata, sukar untuk berdisiplin dengan tempoh yang ditetapkan itu tetapi dia memaksa diri mengulang kaji dan melakukan latih tubi hanya dalam tempoh dua jam.

"Saya cuba juga untuk dapatkan (belajar dalam tempoh) dua jam sehari. Kadang-kadang tidak menjadi pun tapi perlu cukupkan dua jam,” tegasnya.

Meskipun ramai memanggil Danish sebagai seorang nerd, namun baginya itu bukanlah perkara yang menjengkelkan dan menganggap sebagai sebagai pujian.

Dia juga masih berusaha untuk menggunakan ilmu yang dipelajari sebaik mungkin.

"Saya tidak marah kalau digelar nerd. Itu anugerah tuhan, Alhamdulillah.

"Ilmu ini tuhan yang berikan, jadi saya perlu guna dengan baik,” ujarnya.

Danish juga memberitahu bahawa bukanlah satu kewajipan untuk menjadi seorang pelajar genius, namun jika pelajar lain mempunyai minat terhadap sesuatu perkara, maka ia perlu dikejar.

Dia yang mempunyai minat mendalam terhadap nombor, sedaya upaya berusaha untuk berasa seronok dalam menimba ilmu itu.

PROFIL

Nama: Danish Zafran Bazam

Umur: 22 tahun

Pendidikan: Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA)

Universiti: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Pencapaian:

1) Tempat pertama di Malaysia bagi subjek Advanced Financial Management (AFM)

2) Tempat kedua dunia bagi subjek AFM

No Image Caption

Nama: Amin Zulharis Basharudin

Umur: 21 tahun

Pendidikan: Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA)

Universiti: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Pencapaian:

1) Tempat pertama di Malaysia bagi subjek Strategic Business Reporting (SBR)

2) Tempat keempat dunia bagi subjek SBR

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp