Wakil tunggal institut bawah KPM, GVoC Tari Production dinobat tempat ketiga dalam Festival Tari Malaysia

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
15 Sep 2023 04:28pm

Hanya berbekalkan latihan selama sebulan namun siapa sangka pasukan GVoC Tari Production dari Kolej Vokasional (KV) Gombak, Kuala Lumpur berjaya menempa kejayaan dengan meraih tempat ketiga dalam Festival Tari Malaysia negeri Selangor baru-baru ini.

Ia satu pencapaian membanggakan apabila GVoC Tari Production tersebut merupakan satu-satunya wakil institut pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan bersaing dengan pasukan lain yang rata-ratanya merupakan pasukan tarian profesional dalam festival berkenaan.

Menurut Guru Penasihat Kelab Kebudayaan dan Keseniaan kolej berkenaan, Cikgu Hasmizul Hisham Ab Rahman, selama 30 hari sebelum menyertai festival berlangsung, pelbagai usaha dilakukan demi memastikan anak-anak didiknya didedahkan tentang bidang tarian selain mempersiapkan mereka dengan pergerakan persembahan.

“Sebelum pertandingan, latihan pergerakan tarian dilakukan secara berkala di samping turut mengadakan bengkel dengan menjemput guru tarian luar untuk mengajar dan memberi pendedahan kepada mereka.

“Alhamdulillah, hasil usaha keras yang dilakukan, mereka telah membanggakan pasukan dan kolej,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Tambah Cikgu Hasmizul yang juga merupakan guru subjek Sejarah, walaupun berada di tempat ketiga namun ia tetap satu kepuasan dan kebanggaan buat dirinya selaku guru yang mengiringi pasukan tarian tersebut.

Penari GVoC Tari Production tersenyum manis ketika mempersembahkan tarian mereka.
Penari GVoC Tari Production tersenyum manis ketika mempersembahkan tarian mereka.

Katanya, pengalaman itu sangat bermakna malah satu pendedahan baru buat semua pelajar di bawah GVoC Tari Production untuk merasai sendiri keseronokan bersaing di pentas yang lebih besar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua GVoC Tari Production, Haris Fahim Harizan tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya berkongsi kisah kemenangan pasukan tarian berkenaan.

Jelasnya, walaupun tidak berlatarbelakangkan bidang tarian sebelum ini akan tetapi ia bukan alasan untuk dia tidak terus mendalami ilmu menari bagi mengangkat nama kolej.

“Sebelum ini saya memang tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan tarian sehinggalah saya belajar di KV Gombak.

“Diiringi dengan minat mendalam akhirnya sedikit demi sedikit bakat tarian saya serta ahli pasukan terserlah,” tuturnya.

Bukan itu sahaja, GVoC Tari Production turut pernah dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Piala Pengarah BPLTV 2023.

Kejayaan itu sekali lagi membuka ruang serta peluang pasukan berkenaan dikenali dengan bakat tarian yang memukau para penonton.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp