
Wan Rosdy terima anugerah PhD Kehormat Universiti Yarmouk
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kehormat dalam Ekonomi Islam dan Perbankan oleh Universiti Yarmouk, Jordan pada Isnin sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama strategik antara kerajaan negeri Pahang dan universiti itu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Universiti Yarmouk, Profesor Dr Islam Massad, menandakan hubungan erat yang telah terjalin sejak tahun 2001 melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan universiti berkenaan.
Menurut Wan Rosdy, kerjasama akademik itu diperkukuhkan dengan penubuhan Kursi Pahang di Universiti Yarmouk pada 2011 yang berfungsi menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang bermanfaat kepada kedua-dua pihak.
"Selepas 14 tahun, hubungan dua hala ini terus diperkukuhkan lagi melalui MoU Kursi Pahang yang ditandatangani," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan seramai 363 anak Pahang telah menamatkan pengajian di Universiti Yarmouk setakat ini manakala 78 lagi sedang meneruskan pengajian.
"Saya percaya hubungan akademik kukuh ini boleh diperluaskan ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau serta pembangunan lestari sejajar dengan aspirasi Pahang sebagai negeri maju berteraskan maqasid syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," ujarnya.
Dalam syarahan umumnya bertajuk 'Ekonomi Islam dan Masa Depan Pembangunan Inklusif: Model Pahang,' Wan Rosdy berkongsi pendekatan negeri berteraskan prinsip tawhid, rububiyyah, khilafah dan tazkiyyah dalam membangunkan ekonomi yang seimbang serta inklusif.
Beliau berkata, sejak 2018, prestasi ekonomi Pahang menunjukkan peningkatan konsisten, dengan kutipan hasil melebihi RM1 bilion dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM64.9 bilion pada tahun 2023.
"Pencapaian ini didorong oleh kestabilan politik, dasar mesra pelabur serta pembangunan yang inklusif dan mampan," katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pengukuhan syiar Islam, pembangunan komuniti Orang Asli, kelestarian alam sekitar serta memperluas bantuan kepada semua lapisan masyarakat melalui Inisiatif Makmur Pahang.
Wan Rosdy berharap kerjasama erat dengan Universiti Yarmouk dapat terus diperkukuhkan untuk manfaat lebih besar di masa hadapan.
"Saya berharap lebih ramai anak Pahang akan melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan bersama-sama membawa kemajuan kepada negeri dan negara berteraskan nilai Islam serta prinsip maqasid syariah," tambahnya.
Wan Rosdy kini berada di Jordan dalam lawatan kerja enam hari bermula Ahad lalu sehingga 2 Mei.