
Tiga guru terima anugerah di India
Tiga guru Malaysia mengharumkan nama negara apabila menerima anugerah berprestij pada Persidangan Antarabangsa Promoting Leadership in Education & Award Ceremony anjuran Euroasia Educational Research Council (EERC).
Persidangan tersebut berlangsung pada 16 dan 17 April lalu di Barddhaman, West Bengal, India.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap projek dan pencapaian luar biasa dibentangkan oleh pendidik dari seluruh dunia yang menyertai sesi penilaian antarabangsa anjuran EERC.
Guru dari Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Tengah, Kluang, Johor, Noor Halini Allias menerima Innovative Educator of the Year Award, manakala seorang lagi guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Laksamana, Alor Setar, Kedah, Aziroh Abdul Aziz dianugerahkan Dedicated Service to Student Development Award.
Noor Halini yang juga Duta Pendidikan Perubahan Iklim Dunia dan penerima TeachersCOP28 Award di Dubai sebelum ini berkata, beliau berbangga apabila dapat berkongsi amalan sekolahnya dalam bidang kelestarian alam sekitar serta inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya berkongsi usaha sekolah dalam membangunkan murid melalui pelbagai inisiatif inovatif yang menjurus kepada pembinaan sahsiah dan kemahiran masa depan,” katanya kepada Sinar Bestari pada Selasa.
Sementara itu, Aziroh yang juga Duta Guru Petronas giat melaksanakan projek berkaitan eksplorasi gua bersama pelajar dan aktif dalam pembangunan potensi pelajar di sekolahnya.

Turut menerima pengiktirafan ialah Siti Nadiah Ibni Hajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim, Kulai, Johor yang merangkul Anugerah Inovasi Sekolah atas sumbangan besar dalam pelaksanaan projek inovatif di peringkat sekolah.
Siti Nadiah telah melaksanakan pelbagai projek inovasi pendidikan di sekolah dan komuniti.
Persidangan tersebut yang mendapat kerjasama International Peace Human Rights of Council (IPHREC) dan pakar daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) IPL menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pendidik, pembuat dasar serta pemimpin delegasi dari serata dunia.
Hadir sama pada program berkenaan ialah Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia dan Asia Pasifik merangkap Pengarah Pendidikan IPHREC, Profesor Datuk Dr Santharasekaran Subramaniam.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Chamek, Paloh, Johor, Padilah Shahran pula menerima Inspiring Teacher Leadership Award dalam persidangan sama.
Kejayaan warga pendidik itu menjadi bukti komitmen tinggi guru Malaysia dalam mengangkat martabat pendidikan ke peringkat antarabangsa.