Yayasan Amal TYT sumbang RM10,000 kepada mahasiswa USM
Mengambil keberkatan di bulan Ramadan ini, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak melalui Yayasan Amal TYT telah menyumbang RM10,000 kepada mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).
Sumbangan tersebut bertujuan membantu mahasiswa yang memerlukan sekali gus memelihara kebajikan mereka dalam menuntut ilmu.
Penyerahan telah dilaksanakan pada Majlis Iftar Perdana yang diadakan di pekarangan Masjid Al-Malik Khalid USM pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pendaftar, Datuk Dr Musa Ali dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM serta pegawai utama universiti.
Sementara itu, Awang Adek dalam ucapan alu-aluannya berkata, sejajar dengan semangat keprihatinan USM, setiap hari sepanjang bulan Ramadan USM meneruskan tradisi yang telah bermula sejak puluhan tahun untuk memberi peluang kepada mahasiswa berbilang kaum dan agama dari pelbagai negara untuk bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa di masjid.
“Tradisi unik USM ini perlu terus dihidupkan bagi menyemai sikap prihatin dan kasih sayang terhadap warganya.
“Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha kelestarian komuniti dan universiti sesuai dengan semangat universiti APEX dan tuntutan masyarakat MADANI,” katanya.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan Bantuan Kit Ready to Eat Zakat Pusat Islam USM bernilai RM175,000 oleh Pengarah Lembaga Tabung Haji Pulau Pinang, Maznizan Mamat.
Selain itu, penyerahan Zakat Korporat Kuwait Finance House turut diberi kepada pelajar asnaf USM bernilai RM20,095.39 yang telah disampaikan Naib Presiden Ketua Perusahaan Runcit, Kuwait Finance House, Mexdelina Hussein.
Kumpulan USAINS Holding juga menyampaikan Zakat Wakalah berjumlah RM47,100 yang akan memanfaatkan seramai 157 mahasiswa USM yang memerlukan dan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Holding Sdn Bhd, Farid Wajidi Mat Yusoff.
Daripada jumlah tersebut, agihan sebanyak RM23,100 telah disalurkan kepada Pusat Islam USM kampus induk Pulau Pinang manakala RM24,000 kepada Pusat Islam USM kampus Kesihatan di Kelantan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Zakat Korporat kepada mahasiswa USM oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) USM, Profesor Dr Zafarina Zainuddin bernilai RM22,835.30 beserta penyerahan Insentif Khas Zakat Korporat Pusat Islam USM bernilai RM9,150 yang disampaikan oleh Naib Canselor USM.