Zara bersama ibunya yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam apa juga aktiviti yang dilakukannya.
Zara bersama ibunya yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam apa juga aktiviti yang dilakukannya.

Zara mahu bergelar pereka hiasan dalaman

MARIATUL QATIAH ZAKARIAMARIATUL QATIAH ZAKARIA
18 Aug 2023 04:16pm

Gadis comel yang berasal dari Selangor ini mula jatuh cinta dengan kerjaya pereka hiasan dalaman kerana terpengaruh dengan permainan dalam talian, roblox.

Bagi Zara Amanda Akmal Zuri atau lebih mesra disapa Zara, permainan tersebut membolehkannya bereksperimen menggunakan pelbagai jenis perabot dan aksesori tambahan berdasarkan tema, skim warna dan konsep di setiap ruang dalam rumah.

“Zara suka dengan suasana rumah yang cantik, bersih, selesa dan setiap peralatan dalam rumah sesuai untuk kegunaan penghuninya.

“Setiap rekaan dalaman yang Zara hasilkan akan ditunjukkan kepada mama dan papa kemudian mereka akan memberi pandangan juga pelbagai idea bagi memperbaiki kecekapan Zara menghias ruang dalam rumah untuk permainan dalam talian tersebut,” tutur Zara yang mula serius bermain permainan Roblox sejak berusia 9 tahun lagi.

Menurut gadis yang gemar membaca dan menulis cerpen dalam Bahasa Inggeris ini, jika tidak dapat bekerja dalam bidang seni rekaan hiasan dalaman, dia akan cuba ceburi bidang kewartawanan dan pengacaraan.

Di tambah pula minatnya dalam bidang fesyen dan hiburan dilihat dapat membantu Zara tampil yakin dalam dunia pekerjaan yang memerlukannya bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Berbicara pula mengenai subjek kegemarannya, Zara memberitahu subjek Bahasa Inggeris menjadi pilihan kerana dia sangat suka membaca cerpen dalam talian (Wattpad) dan novel.

“Dengan mendalami bahasa Inggeris ia dapat membantu saya bertutur dan berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekolah dengan lancar dan fasih.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga suka subjek Sains kerana ia subjek yang menarik dan menyeronokkan di samping dapat melakukan ekperimen dan ujikaji bersama dengan rakan-rakan sekolah.

“Saya tidak sabar untuk melakukan eksperimen seperti membedah katak apabila memasuki sekolah menengah nanti,” tuturnya lanjut.

Zara yang sememangnya seorang pelajar aktif di sekolahnya turut menceburi bidang seni ketika berusia empat tahun.

Penglibatannya itu sedikit sebanyak telah membina keyakinan dalam dirinya apabila berhadapan dengan orang ramai.

Telah menyertai beberapa pertandingan peragaan bagi kategori kanak-kanak sejak berusia 9 tahun antaranya Asia Kid Star 2020 (Best Photogenic), The Next Look of Selangor Fashion Week 2020 (1st Runner-up dan Best Catwalk Kid Model), Prince & Princess Malaysia 2020 (Miss Photogenic dan Fame Ambassador) dan Malaysia Next Top Kid 2020 (Rising Star), anak tunggal ini tidak ketinggalan turut menyertai pertunjukan fesyen kanak-kanak Harley-Davidson yang julung kali diadakan di Malaysia.

Selain itu, Zara juga aktif dalam bidang sukan dan baru-baru ini telah memenangi tempat ketujuh bagi acara larian BIS Color Run dan tempat kedua acara 4 x 200 meter dalam sukan tahunan BIS Olympic 2023 di Brighton International School.

Pada masa yang sama, anak gadis ini turut menyertai kelas taekwando dan kelab catur di sekolahnya.

Oleh kerana pelajar berusia 12 tahun ini mendapat pendidikan di sekolah antarabangsa, dia telah menduduki peperiksaan Cambridge Primary Checkpoint pada April lalu.

Mengambil tiga subjek iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, Zara menyasarkan 3A dan untuk peperiksaan utama, Cambridge IGCSE, dia akan mendudukinya pada usia 16 tahun.

“Saya harap dapat keputusan yang cemerlang bagi melayakkan kemasukan ke universiti tempatan atau luar negara.

“Bagi peperiksaan Cambridge Primary Checkpoint pula saya banyak membuat latihan soalan-soalan kertas peperiksaan tahun-tahun lalu.

“Sekolah dan guru juga banyak membantu calon-calon peperiksaan dengan memberikan kelas tambahan bagi setiap subjek selepas waktu sekolah. Walaupun peperiksaan IGCSE lama lagi, saya ingin membuat persediaan lebih awal kerana ia merupakan peperiksaan yang utama dan penting bagi pelajar menengah Tingkatan Empat,” ulasnya lagi.

Cukup berterima kasih kepada dua orang tuanya, Zara percaya apa yang dilakukan oleh mereka adalah untuk kebaikannya pada masa hadapan.

“Bagi Mama, saya tidak boleh berjaya dalam bidang akademik untuk mendapatkan pekerjaan yang hebat tetapi faktor-faktor lain iaitu ‘soft skills’ seperti komunikasi, keyakinan diri, kerja berpasukan, pengurusan masa dan sebagainya adalah penting untuk setiap individu.

“Sekarang saya semakin faham tujuan mama meberi sokongan untuk saya melibatkan diri dalam bidang seni dan pertandingan peragaan adalah untuk membina skil-skil tersebut.

“Sejak dari kecil lagi saya telah didedahkan untuk berdiri di hadapan penonton dan untuk itu saya tiada masalah membuat pembentangan dalam kelas,” katanya mengakhiri bicara.

PROFIL

Nama: Zara Amanda Akmal Zuri

Umur: 12 tahun

Tarikh Lahir: 25 April 2011

Tempat Lahir: Selangor

Tinggi: 156 cm

Berat: 39 kg

Pendidikan:

• Brighton International School, Kuala Lumpur (Tahun 6)

• Utama International School, Kuala Lumpur (Pra-Sekolah, Tahun 1-5)

Hobi: Menari, berlakon, peragaan, melukis dan bermain permainan dalam talian

Kemahiran Bahasa: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

Mata Pelajaran Kegemaran: Bahasa Inggeris dan Sains

Cita-cita: Pereka Hiasan Dalaman

Model Idola: Gigi Hadid dan Courtney Kardashian

Penyanyi/Kumpulan Kegemaran: Stray Kids dan New Jeans

Warna Kegemaran: Ungu dan Biru

Motto Hidup: ‘Be Kind and Have Courage’

Media Sosial:

• Instagram: @zaraamanda8

• Facebook: Zara Amanda

Penglibatan dan Pencapaian Seni

• 1st Harley Davidson Kid’s Fashion Show 2022

• Top 25 Kid & Teen Category (Supermodel Universe Malaysia 2021)

• Finalist (I’am Model Search Kids 2021)

• 1st Runner Up Kid Model (The Next Look of Selangor Fashion Week 2020)

• Best Catwalk Kid Model (The Next Look of Selangor Fashion Week 2020)

• Miss Photogenic (Prince & Princess Malaysia 2020)

• Rising Star Award-Model Category (Malaysia Next Top Kid 2020)

• Best Photogenic (Asia Kids Star 2020, Second Stage - Malaysia Division)

• Catwalk - Most Potential (Little Prince & Princess Malaysia IV 2019)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp