136 murid SK Temai jalani PdPR, kawasan sekolah ditenggelami banjir
Seramai 136 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, Pekan Pahang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan oleh kawasan sekolah ditenggelami banjir akibat limpahan Sungai Pahang sejak minggu lalu.
Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Azmi Abdul Rashid berkata, air mula melimpah masuk ke dalam kawasan sekolah dan kini air mula naik kira-kira 0.56 meter.
“Kita memutuskan untuk tidak membenarkan murid ke sekolah dan semua belajar di rumah.
“SK Temai ini juga hampir setiap tahun ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan dan limpahan air Sungai Pahang,” katanya.
Beliau berkata lagi, sebelum ini sering berlaku banjir termenung di sekolah berkenaan hingga menyebabkan agensi berkaitan menggunakan pam untuk menyedut air keluar dari kawasan sekolah.
“Beberapa sekolah rendah dan menengah di daerah ini juga dikenal pasti sering ditenggelami banjir setiap kali tiba Monsun Timur Laut.
“Ada juga sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.