Aeshwarya bukan sahaja membanggakan sekolah dan negara, malah menjadi cahaya kebanggaan buat kedua ibu bapanya.
Aeshwarya bukan sahaja membanggakan sekolah dan negara, malah menjadi cahaya kebanggaan buat kedua ibu bapanya.

Aeshwarya, anak Malaysia serba boleh!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 May 2025 01:30pm

Bakat luar biasa seorang murid Tahun Enam dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Highlands, Klang, Selangor mencetuskan rasa kagum dalam kalangan ramai.

Aeshwarya Sivakumar bukan sahaja cemerlang dalam satu bidang, malah menyerlah dalam pelbagai lapangan seperti sains, inovasi, sukan, pidato dan seni.

Terbaharu, murid hebat ini muncul johan bagi kategori Pembentangan Fizikal Sekolah Rendah dalam SciFusion: Festival Inovasi dan STEM Kebangsaan 2025 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pertandingan itu, Aeshwarya memukau juri dengan projek bertajuk ‘Ricinus Healing Stick’, inovasi berasaskan penyelesaian semula jadi yang dirangka penuh teliti dan berteraskan prinsip saintifik.

Keaslian, keberkesanan dan keupayaan dia mengaitkan sains dengan kehidupan sebenar menjadikan persembahannya bukan sahaja hebat malah luar biasa untuk murid seusianya.

Selain kejayaan dalam inovasi, Aeshwarya juga cemerlang akademik dan aktif aktiviti kokurikulum.

Sebagai contoh, dia sering menyertai pelbagai kejohanan tenis dan bola jaring sekali gus mewakili sekolah dalam Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) untuk sukan berkenaan.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Dia juga telah meraih pelbagai anugerah emas menerusi pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang disertai.

Aeshwarya turut berbakat sebagai pemain biola terlatih dan mahir dalam kedua-dua gaya klasik serta kontemporari.

Dalam masa sama, dia bergelar artis visual berbakat yang dikenali melalui karya lukisan dan ilustrasi potret penuh ekspresi dan kedalaman emosi.

Keupayaan ini secara tidak langsung menjadi nilai tambah penting dalam semua bidang yang diceburinya.

Apa yang menjadikan Aeshwarya benar-benar luar biasa adalah semangat belajarnya yang sentiasa membara, keinginan untuk mencuba pelbagai bidang dan kerendahan hati meskipun dihujani pelbagai pengiktirafan.

Kesimpulannya, perjalanan Aeshwarya dalam akademik dan kokurikulum bukan sekadar pencapaian peribadi sebaliknya ia menjadi sumber inspirasi buat semua murid di seluruh negara.

Sebagai bintang muda yang bersinar, Aeshwarya melambangkan harapan masa depan Malaysia di mana dia layak diangkat tokoh muda yang berpotensi menggegarkan dunia suatu hari nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp