No Image Caption

Filem Skater Girl inspirasi Hidayah

Berjaya buktikan kebolehan diri, raih gangsa dalam MASS Singapore

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Oct 2024 09:00am

Jika dahulu ramai menganggap aktiviti papan selaju atau dikenali sebagai skateboard dimonopoli oleh golongan lelaki, namun kini ia mendapat perhatian kaum Hawa yang menunjukkan minat sama dalam sukan lasak itu.

Mengikut peredaran zaman juga, terdapat banyak pertandingan dalam sukan papan selaju dianjurkan sama ada dalam dan luar negara, menjadikan ia sebagai salah satu alternatif menarik minat golongan muda daripada terus terikat dengan masalah ketagihan gajet.

No Image Caption

Bagi Nurhidayah Mohd Syafiq Affandy, minatnya untuk bermain papan selaju tercetus daripada filem bertajuk Skater Girl yang ditontonnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama keluarga.

Filem mengisahkan tentang seorang remaja perempuan yang mahir dalam permainan papan selaju telah menyuntik minat Hidayah untuk membuktikan bahawa dirinya juga mampu menguasai sukan lasak atau ekstrem yang sebelum ini hanya dimainkan oleh golongan lelaki.

Lebih menarik, minatnya itu turut mendapat sokongan ibu bapa dengan membelikan papan selaju bagi memudahkan dirinya untuk berlatih dan belajar sedikit demi sedikit.

"Awalnya hanya tengok orang main dan rasa seronok jika saya juga dapat bermain seperti mereka yang sudah handal.

“Apabila ayah membelikan papan selaju, saya terus cuba untuk menyeimbangkan badan dan menggerakkan papan sebelum belajar satu per satu teknik dan skil dalam skateboard,” katanya kepada Sinar Bestari.

Kalahkan 16 peserta negara luar

Tidak hanya itu, dia yang baharu berusia 11 tahun itu juga berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang gangsa dalam pertandingan MASS Singapore pada penghujung Ogos lalu.

Berjaya mengalahkan 16 peserta lain dari pelbagai negara seperti Thailand, Jepun, Indonesia dan Singapura, Hidayah berkata, ia adalah satu pengalaman paling bermakna buat dirinya.

“Sebelum ini, saya banyak berlatih untuk pertandingan ini dan ketika diumumkan sebagai pemenang gangsa bagi •Rookie Women’s Bowl Categories•, saya amat gembira hingga tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

“Ia juga satu pengalaman baharu untuk menjadikan saya lebih berkemahiran lagi dalam sukan papan selaju dan sedikit sebanyak sebagai persiapan untuk pertandingan yang seterusnya,” katanya lagi.

No Image Caption

Kongsi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor itu lagi, dia mahu menyertai lebih banyak pertandingan dalam arena papan selaju bagi menambah pengalaman baharu supaya dapat memperbaiki setiap kekurangan.

"Walaupun sukan ini boleh dikategorikan sebagai lasak dan mencabar tetapi saya anggap ia lumrah, malah semua sukan juga pastinya mempunyai cabaran tersendiri.

“Kalau hendak cakap soal jatuh dan terluka, ia memang menjadi satu kebiasaan tetapi sama sekali tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan penglibatan diri dalam sukan ini.

“Saya yakin dan percaya latihan demi latihan akan menjadikan saya lebih mahir dan berjaya dalam sukan ini suatu hari nanti,” ujarnya.

Setakat ini, anak sulung daripada dua beradik itu sudah menguasai beberapa kemahiran atau skil papan selaju hasil daripada latihan yang berterusan.

Antaranya ialah basic tricks ollie, frontside, backside, kickflip, indy grab, shuvit, boardslide selain mampu bermain dalam Street dan Transition.

Hidayah turut memberi pesanan kepada rakan-rakan seusia dengannya agar sentiasa tampil yakin dan berani sekiranya berminat untuk menceburi sesuatu bidang atau sukan.

“Jangan mudah mengalah dan yakinlah bahawa sesuatu perkara itu tidak akan dicapai melainkan dengan usaha serta latihan berkala.

“Selain itu, berfikiran positif juga dapat membantu kesihatan mental agar dapat berdepan dengan apa jua cabaran sekalipun,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp