Raisin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak Allahyarham yang terkorban dalam kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas.
Raisin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak Allahyarham yang terkorban dalam kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas.

Guru Besar SK Senaja disahkan antara mangsa rentung di Pitas

02 Aug 2024 09:00am

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan salah seorang mangsa yang rentung dalam kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas, Sabah merupakan Guru Besar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Senaja.

Menurutnya, Abdul Malik Mad Tasin, 54, terkorban bersama anak bongsunya, Nur Adriana Qistina, 11, dalam kejadian tersebut.

"Warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) iaitu Guru Besar SK Penaja turut terkorban bersama anak bongsu, dalam kebakaran ini.

"Saya telah ke Pitas untuk menziarahi waris Allahyarham bagi mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak KPM mengucapkan takziah serta simpati kepada pihak keluarga," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya lagi, punca kejadian masih belum diketahui dan kini dalam siasatan pihak berkaitan.

Dalam kejadian itu, difahamkan isteri mangsa iaitu Afnah Tundan dan dua lagi anak mereka, Nur Ika Afmaleena dan Nurattyqah sempat keluar daripada rumah dengan melompat dari tingkap.

Namun salah seorang daripada anaknya mengalami kecederaan patah kaki dan telah menerima rawatan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Mereka difahamkan kini berehat di rumah saudara terdekat.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, tiga termasuk seorang lagi ahli keluarga mereka, Salleh Onding, berusia 60-an ditemukan rentung manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kebakaran rumah di kampung tersebut.

Kebakaran yang bermula kira-kira jam 2 pagi turut menyebabkan dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja terbakar 100 peratus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp