Jelas dan yakin, senjata utama Raja Aishah
Mempunyai lontaran suara jelas disertakan keyakinan tinggi dalam mengusulkan hujahan ketika sesi akhir Pertandingan Debat Cilik Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Negeri Selangor mengangkat Raja Aishah Amani Raja Khairul sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Awal dan Akhir.
Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tiga itu berjaya membuktikan segala usaha dalam sesi latihan akhir membuahkan hasil lumayan sekali gus membanggakan ibu bapa dan sekolahnya.
"Syukur alhamdulillah, saya pun tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik untuk dua pusingan.
“Terima kasih kepada guru yang banyak memberi tunjuk ajar, sokongan dan dorongan,” katanya.
Lebih mengejutkan, Raja Aishah mengakui gelaran yang dirangkulnya itu paling bermakna berikutan baru mencuba nasib sebagai pendebat.
Benarlah bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Raja Aishah dan pasukan debat sekolahnya turut dianugerahkan juara dalam pertandingan itu.
“Sebagai menteri kedua dan pasukan, saya adalah wakil kerajaan sekali gus memerlukan persiapan rapi lebih-lebih lagi untuk mematahkan usul lawan.
“Apa yang saya lakukan adalah dengan menjaga lontaran suara agar kedengaran jelas dan yakin serta seterusnya meyakinkan juri untuk memberi markah lebih,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai tip membina keyakinan diri, kongsi Raja Aishah, untuk sentiasa menerapkan pemikiran ‘Saya Boleh’ agar dapat memberikan yang terbaik ketika sesi berlangsung.
Ujarnya, latihan berkala juga perlu dilakukan lebih-lebih lagi ketika menjelang hari pertandingan sebagai persiapan untuk lebih bersedia.
Sebagai pendebat terbaik dan juara pertandingan peringkat negeri, dia dan pasukan turut terpilih mewakili Selangor bagi pertandingan debat peringkat lebangsaan.
“Saya akan tingkatkan lagi prestasi untuk banggakan sekolah dan negeri,” katanya.