
Langkah kecil, impak besar
Penglibatan murid dalam pengakap mampu tanam nilai tanggungjawab dan kepimpinan
Pengakap merupakan antara badan beruniform kokurikulum paling aktif di sekolah rendah dan menengah.
Penglibatan dalam gerakan ini bukan sahaja memperkasakan sahsiah diri, malah memberi penekanan terhadap aspek disiplin dan kemahiran hidup dalam kalangan murid.
Disiplin pula tidak sepatutnya difokuskan sebagai teguran apabila peraturan dilanggar, sebaliknya perlu dipupuk sejak awal alam persekolahan.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai perkara ini, Sinar Bestari mendapatkan pandangan eksklusif daripada individu penting dalam pergerakan pengakap.
Asuh sejak awal
Sistem latihan yang dilaksanakan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bertujuan melahirkan masyarakat bertanggungjawab dan pemimpin berkebolehan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka (Operasi), Muhammad Zulhusnie Khalib, 29, berkata, inisiatif yang di bawah Pasukan Latihan Negara (PLN) itu turut menguruskan latihan ahli-ahli semua peringkat.
"Latihan yang disediakan ini bertujuan melahirkan seorang ahli pengakap yang berkemahiran, berilmu dan berkepimpinan.
"Sebenarnya, sejak dari kecil lagi didikan dan disiplin perlu diajar dalam kalangan anak-anak.

"Kita ambil contoh pembelajaran di taska dan mana-mana institusi prasekolah, anak-anak ini didedahkan dengan cara menyusun selipar, makan tidak bersepah, mengemas diri dan pelbagai lagi peraturan yang ditetapkan untuk dipatuhi," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Pengakap Lebah generasi kini
Mendidik murid Tahap 1 tentang dunia pengakap bukan sekadar mengajar ikatan dan simpulan atau kutipan lencana, sebaliknya memerlukan pendekatan kreatif, sabar serta sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak.
Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kota (Melaka), Yom Saridatul Najwa Abd Lahsan berkata, inisiatif berterusan sangat penting supaya usaha memperkenalkan pengakap kepada murid seawal usia tujuh tahun dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
"Rasional Pengakap Lebah ini bertujuan menimbulkan keyakinan, kecekalan dan kesedaran diri dalam kalangan murid serta mewujudkan nilai murni.
"Ini juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu dalam menjalankan aktiviti kokurikulum,” katanya.

Kongsi Yom Saridatul Najwa, ia merujuk kepada Silibus Pengakap Lebah yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) pada tahun 2020.
Katanya, Pengakap Lebah atau nama sinonimnya Bee Scouts bertujuan memberi pendedahan awal terhadap ilmu kepengakapan kepada kanak-kanak prasekolah lingkungan usia empat hingga lapan tahun.
"Program Pengakap Lebah ini direka selari dengan kurikulum pembelajaran kanak-kanak prasekolah iaitu berlandaskan konsep 'belajar sambil bermain' dan Kurikulum Permata Negara yang mengintegrasikan kepelbagaian budaya dan agama.
"Ia selaras dengan kepelbagaian kaum di Malaysia. Ini kerana pada usia sebegini, kanakkanak lebih mudah dilentur dan dibentuk peribadi serta inteleknya,” ujarnya lagi.
