Fadhlina (tengah) berkongsi kegembiraan bersama wakil murid SK Putrajaya Presint 11(1) selepas sekolah itu meraih Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025. Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Fadhlina (tengah) berkongsi kegembiraan bersama wakil murid SK Putrajaya Presint 11(1) selepas sekolah itu meraih Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025. Foto: Facebook Fadhlina Sidek

SK Putrajaya Presint 11(1) cipta sejarah, rangkul gelaran Sekolah Terbaik Dunia 2025!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Oct 2025 10:50am

Seluruh rakyat Malaysia berbangga apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.

Menerusi kemenangan itu, mereka menerima AS$50,000 (RM235,000) dan dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang bakal berlangsung di Abu Dhabi pada 15 dan 16 November 2025.

Pengiktirafan bertaraf antarabangsa tersebut adalah hasil kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) membangunkan aplikasi mudah alih dinamakan Helpie.

Menariknya, aplikasi ini dibangunkan sepenuhnya oleh murid-murid sendiri sebagai platform digital untuk memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada rakan sebaya mereka.

Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Foto: Facebook Fadhlina Sidek

Melalui Helpie juga, murid berpeluang mendapatkan ruang selamat untuk berkongsi masalah, mengakses bimbingan kaunseling dan menikmati pengalaman gamifikasi yang menyeronokkan dan interaktif.

Pendekatan ini dilihat sebagai solusi kreatif dan efektif dalam menangani isu kesihatan mental yang semakin diberi perhatian di Malaysia dan seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai momen bersejarah yang sangat istimewa.

"Sebelum ini, sudah beberapa kali sekolah Malaysia berjaya diiktiraf sebagai finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Foto: Facebook Fadhlina Sidek

"Namun, kali ini lebih istimewa apabila buat pertama kali Malaysia memenanginya sekali gus menempa sejarah baharu untuk negara," katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa aplikasi Helpie hadir pada waktu yang amat penting, seiring usaha negara memberikan tumpuan terhadap isu kesihatan mental murid.

"Ia menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan pelajar. Fungsi chat dan elemen gamifikasi menjadikan aplikasi ini menarik, mudah diakses dan memberi impak yang signifikan terhadap komuniti sekolah," jelas beliau.

Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Foto: Facebook Fadhlina Sidek

Tambah Fadhlina lagi, kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika warga sekolah bersatu hati memperjuangkan visi pendidikan yang cemerlang.

"Tahniah buat seluruh warga sekolah yang terdiri daripada murid, guru, kakitangan, ibu bapa, pengawal keselamatan, petugas kebersihan, pengusaha kantin dan semua yang terlibat. Anda telah memberikan yang terbaik dalam usaha membina ekosistem pendidikan unggul. Terima kasih kerana menginspirasikan kami semua," katanya.

Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Foto: Facebook Fadhlina Sidek

Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Foto: Facebook Fadhlina Sidek

 

 

 

Ringkasan AI

  • Seluruh rakyat Malaysia berbangga apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat
  • Mereka dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang bakal berlangsung di Abu Dhabi pada 15 dan 16 November 2025
  • Pengiktirafan ini adalah hasil kejayaan pembangunan aplikasi mudah alih Helpie oleh murid-murid sekolah tersebut
  • Aplikasi Helpie adalah platform digital untuk memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada rakan sebaya
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan kemenangan ini sebagai momen bersejarah yang amat istimewa bagi Malaysia
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp