Mohd Mifzal Anaqi dikatakan telah meninggal dunia pada Khamis akibat keracunan makanan.
Mohd Mifzal Anaqi dikatakan telah meninggal dunia pada Khamis akibat keracunan makanan.

Murid Tahun Empat maut keracunan makanan

26 Jul 2024 05:03pm

Seorang murid lelaki Tahun Empat di sebuah sekolah di Sandakan, Sabah meninggal dunia akibat keracunan makanan pada Khamis.

Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, bukan keracunan disebabkan makanan yang diperoleh dari sekolah kerana ibunya turut mengalami gejala yang sama di rumah mereka.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, hasil laporan awal mendapati Selasa lalu, guru kelas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa murid tersebut tidak dapat hadir ke sekolah kerana keracunan makanan.

"Murid ini telah ke klinik dan diberi cuti sakit selama dua hari sehingga Rabu dan guru kelas kemudian dimaklumkan oleh keluarga bahawa anak mereka tiba-tiba pengsan pada malam Rabu dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

"Pada 7 pagi Khamis, guru kelas dimaklumkan oleh waris bahawa anak mereka telah meninggal dunia dan pada 12 tengah hari ini, Guru Besar bersama beberapa cikgu telah melawat jenazah di rumah nenek murid berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Susulan kejadian itu, Raisin berkata, kes dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.

"Murid keracunan makanan di rumah bersama ibunya di mana kedua-duanya telah dimasukkan ke wad.

"Keracunan makanan bukan disebabkan makanan di kantin sekolah memandangkan ia melibatkan seorang murid sahaja dan bersama ibunya mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.

"Murid-murid lain tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari Jumaat," katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful.

"JPN Sabah akan membuat laporan lengkap kes ini apabila semua siasatan telah selesai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp