Mengasah bakat kesenian murid sebegini boleh membentuk jati diri yang berkeyakinan dan intelektual.
Mengasah bakat kesenian murid sebegini boleh membentuk jati diri yang berkeyakinan dan intelektual.

Pertandingan seni kolaj serlahkan kreativiti murid

17 Jul 2024 04:48pm

Kreativiti adalah elemen yang teramat penting bagi murid masa kini kerana ia menjurus kepada perkembangan kemahiran penyelesaian masalah.

Ia juga berfungsi sebagai ruang yang selamat untuk pelajar mengekspresikan idea asli dan identiti unik murid.

Salah satu medium untuk memaparkan daya kreativiti minda murid yang segar secara berkesan adalah melalui penghasilan seni visual.

Inilah matlamat utama Pertandingan Seni Kraf Kolaj Sekolah Rendah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), diadakan untuk memberi peluang kepada murid memperkembangkan bakat dan potensi seni visual bagi mendalami minat mereka serta memberi kesedaran tentang estetika kesenian.

Di samping itu, pertandingan yang bermula pada Mei lepas itu dilaksanakan dengan kerjasama Nestlé Koko Krunch, menandakan sokongan terhadap KPM dalam memperkayakan kesenian murid Malaysia.

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Zainuren Mohd Nor menyatakan kerjasama itu membolehkan mereka mengembangkan penganjuran program seni visual, menyediakan murid ruang untuk meneroka serta mengekspresikan kreativiti masing-masing.

“Kami berkongsi komitmen yang sama iaitu memupuk kreativiti dan daya imaginasi dalam kalangan murid serta kami berharap untuk meneruskan kerjasama ini demi memberi inspirasi kepada murid seluruh negara,” katanya.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Cereal Partners Worldwide (CPW) Malaysia Singapura, Norkhayati Mohamed Hashini berkata, beliau sangat berbangga untuk bekerjasama dengan KPM dalam memperkayakan pengalaman murid melalui akitiviti kesenian.

“Kerjasama ini akan menyumbang kepada perkembangan holistik murid, menerapkan kemahiran penting dan pengalaman yang memberangsangkan bagi menjamin masa depan mereka,” tambah beliau.

Sehubungan itu, pertandingan dikendalikan secara berperingkat, bermula dari sesi pemilihan karya peringkat daerah, peringkat zon sehingga ke peringkat kebangsaan.

Pada majlis pelancaran rasmi 13 Julai lalu, 45 peserta peringkat daerah diumumkan sebagai pemenang yang akan mara ke pertandingan peringkat zon.

Pemenang peringkat zon pula akan bertanding di peringkat kebangsaan pada September 2024.

Untuk makluman, tema pertandingan pada kali ini ialah 'Happiness', 'First Happy Moments', 'Happy Adventures' dan 'Happy Future'.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp